Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kedua-dua mereka yang berusia 60-an tiba kira-kira jam 9.30 pagi dengan tangan bergari dan memakai baju lokap berwarna jingga. Mereka dibawa masuk ke mahkamah dengan diiringi pegawai penyiasat SPRM.
Kedua-dua tokoh berkenaan ditahan kira-kira jam 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Permohonan reman itu dijangka bagi membolehkan SPRM mendapatkan keterangan lanjut dan melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan serta isu tadbir urus yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.
Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH turut direman selama tujuh hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan sama.
Pada 14 Ogos lalu, SPRM menahan tujuh individu, termasuk seorang wanita, terdiri daripada seorang CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH. Mereka dipanggil dan ditahan bagi membantu siasatan berhubung perkara sama.
Siasatan SPRM itu susulan pendedahan laporan RCI TH pada 29 Julai lalu yang mengemukakan 25 syor utama bagi memperkukuh ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.
Antara syor penting RCI ialah larangan terhadap ahli politik aktif daripada menganggotai Lembaga Pengarah TH bagi mengurangkan risiko campur tangan politik dalam pengurusan institusi itu.
Isu tersebut mendapat perhatian selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan berhubung laporan RCI TH dijalankan secara menyeluruh.
Baginda sebelum ini bertitah supaya siasatan dibuat “hingga ke lubang cacing”, menggambarkan keperluan untuk meneliti segala aspek berkaitan isu yang dibangkitkan.
Siasatan SPRM kini memasuki fasa lebih menyeluruh dengan beberapa individu yang pernah memegang jawatan penting dalam TH dan kerajaan dipanggil bagi membantu siasatan.
Banjir Nepal: Kerajaan giat kesan 54 rakyat Malaysia
Harga petrol tanpa subsidi naik 5 sen
Kerajaan perketat kawalan platform e-dagang, terima aduan pengguna banyak: Fahmi
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
Pendakwah terkenal didakwa seleweng dana NGO RM13 juta
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri