Mohamad Hasan ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
“Jangan harap kepada ihsan orang.” Itu amaran keras Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan kepada parti sendiri supaya tidak lagi bergantung kepada mana-mana parti politik untuk bangkit menjelang PRU16.
Mohamad berkata, tiada parti lain yang benar-benar mahu melihat UMNO kembali kuat selepas kejatuhan parti itu pada 2018, sebaliknya setiap pihak mempunyai kepentingan politik masing-masing.
“Tak ada siapa yang nak melihat UMNO bangkit semula. Berbohonglah saya jika saya katakan ada parti lain yang nak membimbing kita untuk kita bangkit dan bangun semula.
“Jangan kita mimpi di siang hari kerana tak ada satu mata pun, tak ada satu hati pun yang nak melihat kita bangkit semula. Semuanya nak melihat kita dibenamkan ataupun ditalkinkan.
“Jangan harap kepada ihsan orang. Bina kekuatan sendiri. Jangan kita harapkan pertolongan orang, bantuan orang lain, parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Mohamad berkata pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran supaya UMNO tidak mengulangi kesilapan terlalu bergantung kepada pihak lain ketika parti berada dalam keadaan lemah.
Katanya, kekuatan dalaman penting bagi mengelakkan pihak lain mengambil kesempatan atau memperkotak-katikkan UMNO.
“Ada orang yang mengambil peluang, menganggap kita lemah, mengambil peluang untuk bersama-sama tetapi percayalah saudara-saudari sekalian bahawa kita pernah berpengalaman macam mana kita dikecewakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru anggota UMNO melupakan perbezaan dalaman dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti, termasuk memastikan jentera pilihan raya di semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga.
Mohamad berkata tempoh yang ada perlu dimanfaatkan untuk menyusun strategi dan jentera bagi menghadapi PRU16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Beliau turut menjadikan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Johor dan Negeri Sembilan sebagai contoh untuk diterjemahkan kepada kemenangan di negeri lain.
“Kami di Negeri Sembilan dan di Johor dah lapang dada dah. Kami dah menang. Dah tubuh kerajaan. Sekarang tiba gilirannya negeri-negeri lain, pakat-pakat kena menang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata ucapan dasar Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengandungi hala tuju serta kerangka jelas bagi mempersiapkan parti untuk kembali menerajui Putrajaya pada PRU16.
UMNO mengalami kekalahan besar pada PRU14 pada 2018 sebelum melalui beberapa siri perubahan politik dan kerjasama untuk kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
UMNO jangan satu kaki kerajaan, satu kaki pembangkang: AMK
PKR tolak PRU-16 awal, tunggu sehingga habis penggal: Saifuddin Nasution
Rata-rata perwakilan UMNO cenderung berunding dengan PAS sahaja: Asyraf Wajdi
PH Melaka sedia bertanding, tak takut BN Plus
UMNO Kedah tolak PN gelar ‘parti kucing’, pilih runding terus dengan PAS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum