Naib Ketua AMK, Nabil Halimi.
Menteri dan ahli Parlimen UMNO digesa menyatakan pendirian jelas susulan gesaan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Nabil Halimi berkata, jika UMNO mahu terus bersama Kerajaan MADANI, parti itu perlu memikul tanggungjawab sehingga tamat tempoh mandat semasa.
“Jika UMNO memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), keputusan perlu dibuat segera dengan menyerahkan semula jawatan dalam kerajaan.
“Jangan sampai UMNO dilihat satu kaki dalam kerajaan, satu kaki dalam pembangkang, di negeri berpelukan dengan PN, tetapi di Putrajaya masih mahu menikmati jawatan dan kedudukan dalam Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang membayangkan PRU-16 wajar diadakan lebih awal.
Muhammad Nabil berkata, rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan percaturan politik sedemikian, ketika kerajaan masih mempunyai mandat untuk mentadbir negara.
“Kerajaan Madani yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan-rakan lain akan terus menyempurnakan baki mandat penggal ini selagi mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Menurutnya, tumpuan kerajaan ketika ini perlu diberikan kepada agenda reformasi, pengukuhan ekonomi serta penyelesaian masalah rakyat.
“Mandat rakyat bukanlah alat tawar-menawar politik. Biarlah rakyat membuat penilaian apabila tiba masanya pilihan raya kelak,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 memberikan gambaran PRU-16 mungkin perlu diadakan lebih awal.
Beliau berkata PRU-16 perlu disegerakan susulan dakwaan rakyat semakin merindui kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Ahmad Zahid turut menyentuh perkembangan politik di Negeri Sembilan dan Johor yang disifatkan memberi keyakinan masih wujud ruang untuk sokongan terhadap BN kembali mengukuh.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai hala tuju UMNO dalam Kerajaan MADANI, khususnya selepas parti itu terus bekerjasama dengan PH di peringkat Persekutuan, sedangkan hubungan politik dengan PN turut menjadi perhatian di beberapa negeri.
PRU1-6 perlu diadakan dalam tempoh mandat Parlimen semasa dan tarikh pembubaran Parlimen masih bergantung kepada keputusan kerajaan serta perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
UMNO jangan bergantung parti lain, bina kekuatan sendiri : Mohamad
PKR tolak PRU-16 awal, tunggu sehingga habis penggal: Saifuddin Nasution
Rata-rata perwakilan UMNO cenderung berunding dengan PAS sahaja: Asyraf Wajdi
PH Melaka sedia bertanding, tak takut BN Plus
UMNO Kedah tolak PN gelar ‘parti kucing’, pilih runding terus dengan PAS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum