Sidang media Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar.
Seramai 53 individu termasuk lapan kanak-kanak ditahan dalam Op Pedo Bersepadu 3.0 yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata operasi selama tiga hari dari 14 hingga 16 September lalu membabitkan 92 sasaran di semua 14 kontinjen polis.
Menurutnya, sebanyak 52 serbuan menghasilkan tangkapan, manakala 40 lagi tidak membawa kepada tangkapan. Satu tangkapan susulan kemudian dibuat menjadikan jumlah keseluruhan 53 individu.
“Kesemua mereka terdiri daripada 51 lelaki dan dua perempuan berusia antara 13 hingga 56 tahun.
“Antara yang ditahan ialah seorang guru berusia 24 tahun di Pahang dan pembantu makmal berusia 44 tahun di Terengganu. Individu paling muda yang ditahan pula ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam operasi itu, sebanyak 95 barang kes dirampas, termasuk 90 peranti digital seperti telefon bimbit, komputer, komputer riba, tablet, peranti storan serta router atau modem.
Polis turut merampas lima alat mainan seks untuk membantu siasatan.
Pemeriksaan awal terhadap peranti digital yang dirampas menemukan sebanyak 653,193 fail, terdiri daripada 540,127 fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan 113,066 fail pornografi dewasa.
Op Pedo merupakan operasi bersepadu yang memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak, termasuk penghasilan, penyimpanan dan penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak melalui peranti serta platform digital.
Operasi sebegini turut membabitkan kerjasama antara agensi penguat kuasa bagi mengesan rangkaian individu yang menggunakan teknologi untuk menyimpan atau menyebarkan kandungan berunsur eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
PDRM sebelum ini turut mempergiat tindakan terhadap jenayah seksual dalam talian susulan peningkatan penggunaan platform digital dan media sosial yang membuka ruang kepada penyalahgunaan teknologi untuk mengeksploitasi golongan bawah umur.
Kesemua suspek yang ditahan dalam Op Pedo 3.0 akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum