Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang

November 23, 2026 · Isu semasa

Cadangan menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya ke Turkiye menerusi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) masih belum dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, beliau tidak mempunyai maklumat rasmi berhubung cadangan itu dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

Beliau berkata, penjelasan lanjut perlu diperoleh dalam mesyuarat Kabinet akan datang sebelum sebarang ulasan atau pendirian diberikan berhubung perkara berkenaan.

“Saya tak ada maklumat rasmi. Hanya melalui akhbar. Saya tak mahu komenlah. Saya nak tunggu dalam mesyuarat Kabinet nantilah,” katanya dipetik laporan media.

Presiden Amanah itu turut menafikan perkara berkenaan pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.

“Tak ada, tak ada lagi,” katanya ketika ditanya mengenai perkara tersebut.

Kenyataan Mohamad itu menimbulkan persoalan berhubung status sebenar cadangan berkenaan selepas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada 20 November lalu mengumumkan Jemaah Menteri sudah meluluskan rancangan penempatan semula 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye.

Zahid sebelum ini menyatakan kerajaan Turkiye bersetuju menerima pelarian terbabit menerusi program TVET selama tiga hingga enam bulan.

Bagaimanapun, hantaran media sosial yang mengumumkan perkara itu dipadam kira-kira sejam selepas diterbitkan.

Lebih menarik, Pusat Memerangi Maklumat Palsu (DMM) di bawah Direktorat Komunikasi Presiden Turkiye pada 21 November menyifatkan dakwaan mengenai penempatan semula 10,000 pelarian Rohingya di negara itu sebagai tidak berasas.

Setiausaha akhbar Zahid, Shuhaimi Mohamed kemudian menjelaskan cadangan berkenaan masih dalam proses untuk diusahakan, dengan beberapa perkara memerlukan penjelasan dan penyelarasan bersama pihak berkaitan.

Pengumuman itu turut mencetuskan persoalan mengenai kos pembiayaan program, lokasi latihan serta status peserta selepas tamat tempoh latihan, termasuk sama ada mereka dibenarkan menetap secara tetap di Turkiye.

Isu berkenaan timbul ketika nasib masyarakat Rohingya kembali menjadi perhatian antarabangsa susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik berkenaan ketika operasi ketenteraan di utara negeri Rakhine pada 2017.

Mahkamah turut mengarahkan Myanmar membayar pampasan kepada mangsa dan mengambil langkah bagi menghalang pelanggaran lanjut.

Kes berkenaan difailkan Gambia pada November 2019 dengan sokongan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia.

Pelarian Rohingya melarikan diri secara besar-besaran dari Myanmar selepas operasi ketenteraan pada 2017 yang menyaksikan pembunuhan, keganasan seksual dan pencabulan hak asasi manusia secara meluas.

Berita berkaitan
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
November 23, 2026· Isu semasa
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
17 jam lalu· Politik
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
17 jam lalu· Politik
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
November 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
November 23, 2026 · Isu semasa
Pua persoal Zahid, ungkit kegagalan GST era Najib
November 23, 2026 · Isu semasa
MINDEF tubuh jawatankuasa khas siasat skandal dadah TUDM
November 23, 2026 · Isu semasa
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
November 22, 2026 · Isu semasa
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
November 22, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok