PMX Anwar Ibrahim menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima, antara acara kemuncak pada hari ketiga lawatan kerja beliau ke China. Foto kredit: PMO
Malaysia akan terus membuka ruang kepada pelaburan dan kerjasama dengan China dalam bidang teknologi digital, khususnya sektor yang mampu membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan itu penting ketika ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat serta menjadi antara pemacu utama ekonomi global.
Beliau berkata, Malaysia turut menghargai kesediaan China berkongsi kemajuan teknologi dengan negara lain, termasuk menerusi platform antarabangsa seperti Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di Hangzhou.
“Malaysia akan terus membuka ekonominya untuk meraih manfaat daripada pelaburan serta kerjasama digital,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian GDTE Kelima, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mempunyai beberapa kelebihan sebagai destinasi pelaburan, termasuk tenaga kerja berkemahiran dan menguasai pelbagai bahasa, selain kedudukan ekonomi yang berasaskan peraturan serta akses kepada pasaran Asia dan antarabangsa.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan keperluan memastikan perkembangan AI dan ekonomi digital memberi manfaat secara lebih meluas, bukan hanya kepada negara atau syarikat tertentu.
“Ekonomi digital yang kukuh merujuk kepada keadaan yang membolehkan lebih banyak negara mengambil bahagian, lebih banyak syarikat bersaing dan lebih ramai orang menikmati kemakmuran itu,” katanya.
Anwar turut memetik peribahasa China, “sekuntum bunga yang mekar sendirian tidak mampu menghasilkan musim bunga”, sebagai gambaran pentingnya kerjasama dalam memastikan manfaat teknologi dapat dikongsi secara lebih meluas.
Beliau sebelum itu turut menggesa pembangunan AI dilaksanakan berteraskan etika dan perdagangan digital diperkukuh menerusi sistem yang lebih terbuka serta berasaskan peraturan.
Menurutnya, matlamat Malaysia adalah menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti, membantu perusahaan kecil bersaing dan menggerakkan industri ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi.
Pendirian itu hadir ketika hubungan ekonomi Malaysia-China terus berkembang. China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$113.82 bilion (RM456.68 bilion) bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Dalam lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat teknologi utama China. Antaranya AgiBot Innovation yang menyatakan potensi pelaburan RM1 bilion menjelang 2035, selain cadangan pelaburan RM170 juta oleh ZTE bagi menyokong transformasi digital Malaysia.
Lawatan kerja Anwar ke China berakhir hari ini selepas beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, bagi membincangkan pengukuhan hubungan strategik dan kerjasama antara kedua-dua negara. – Bernama
Bekas COO Tabung Haji didakwa terima kos ubah suai RM302,499: Bernama
Eksploitasi seksual kanak-kanak: MCMC, PDRM tingkat kerjasama
JPJ nafi hantaran tular berkait lesen kepada Rohingya, buat laporan MCMC: Bernama
RM33.4 juta bunga ganja dirampas, 12 ditahan: Polis Selangor
Remaja kes tikam sekolah Bandar Utama mahu kematian beramai-ramai, mahkamah diberitahu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum