Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Malaysia menyasarkan enam daripada setiap 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM390,000 apabila mencapai usia 60 tahun menjelang 2030.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, sasaran itu ditetapkan di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP bagi memastikan lebih ramai rakyat mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.
Menurutnya, ketika ini hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun.
“Ini merupakan satu kemajuan tetapi masih terlalu ramai rakyat Malaysia yang berisiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang mungkin mencapai selama 20 hingga 25 tahun,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Anwar berkata cabaran turut melibatkan liputan perlindungan sosial apabila jutaan rakyat Malaysia bekerja di luar sektor pekerjaan formal konvensional, sedangkan sistem perlindungan sosial negara sebahagian besarnya dibangunkan berasaskan sektor tersebut.
Katanya, sistem perlindungan sosial perlu berkembang selari dengan perubahan corak pekerjaan dan realiti kehidupan rakyat.
“Terdapat satu lagi realiti yang perlu kita hadapi. Bagi penggubal dasar, persaraan mungkin merupakan perancangan untuk tempoh 30 tahun. Bagi isi rumah yang menguruskan perbelanjaan makanan, sewa rumah dan persekolahan, tempoh perancangan mungkin hanya sehingga hujung minggu.
“Meminta orang ramai membuat persediaan untuk tahun 2048 apabila mereka tidak pasti mengenai keadaan pada bulan depan bukan sekadar persoalan mengenai celik kewangan. Ia juga merupakan soal kemampuan kewangan,” katanya.
Anwar berkata jaminan persaraan bermula dengan pendapatan yang mencukupi, pekerjaan yang baik serta kemampuan untuk menabung secara konsisten.
Sehubungan itu, katanya, agenda persaraan perlu bergerak seiring dengan agenda peningkatan gaji bagi membolehkan rakyat membina simpanan dalam jangka panjang.
Dalam aspek kebajikan warga emas, kerajaan memperuntukkan RM1.26 bilion yang memberi manfaat kepada kira-kira 180,000 rakyat Malaysia berusia, selain memperluas pusat aktiviti bagi mengurangkan risiko pengasingan sosial dalam kalangan warga emas.
Anwar turut menekankan keperluan sistem penjagaan warga emas secara berperingkat, bermula dengan sokongan komuniti, makanan berkhasiat dan penjagaan di rumah hingga penjagaan harian serta pusat penjagaan bagi individu yang uzur atau mengalami demensia.
“Kerajaan perlu menerajui dengan menetapkan piawaian, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan memastikan perkhidmatan asas disediakan. Namun, kejayaan yang berkekalan memerlukan komitmen bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Mohd Zuki Ali berkata persediaan menghadapi masa depan memerlukan kerjasama kerajaan, perniagaan, komuniti, keluarga dan individu.
Beliau berkata pengenalan i-Legasi turut mencerminkan kepentingan sokongan antara generasi apabila ahli yang layak dan mempunyai simpanan persaraan mencukupi boleh memindahkan sebahagian simpanan ke akaun KWSP ahli keluarga terdekat.
Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP pula menetapkan penanda aras Simpanan Asas, Simpanan Mencukupi dan Simpanan Dipertingkat bagi membantu ahli memahami tahap simpanan yang diperlukan serta pendapatan bulanan yang boleh disokong selepas bersara.
ISWC 2026 bertemakan ‘The Long Horizon’ dianjurkan bersama KWSP dan Kementerian Kewangan selama dua hari sehingga Rabu.
SPRM tahan bekas pegawai dalam skandal UiTM Holdings: Laporan
Bekas CEO Felda Investment didakwa tipu nilai 24 tanah Felda
Penghantaran Ubat Melalui Pos: 80,000 pesakit bakal terima manfaat
Dr Hasmah selamat disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya
Pasport Malaysia naik ke tangga kedua dunia
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum