Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemantauan selepas pemergian isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, pada Isnin lalu.
Anaknya, Mukhriz Mahathir, mengesahkan Mahathir, 101, dimasukkan ke IJN semalam untuk mendapatkan pemantauan lanjut.
Jurucakap pejabat Mahathir, Sufi Yusoff, turut memaklumkan keadaan bekas Perdana Menteri itu baik dan kini sedang berehat di IJN.
“Beliau berada dalam keadaan baik dan sedang berehat,” katanya.
Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pagi Isnin sebelum diberikan istiadat pengebumian negara dan disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya.
Pemergian Hasmah menerima ucapan takziah dan penghormatan daripada pelbagai pihak yang mengenang peranan serta sumbangan beliau sepanjang mendampingi Mahathir dalam kehidupan awam dan pentadbiran negara.
Dr Mahathir dan Hasmah berkahwin pada 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata. Hasmah turut dikenali sebagai tokoh yang banyak mendampingi suaminya sepanjang perjalanan politik dan kerjaya Mahathir sebagai doktor serta Perdana Menteri.
Dr Mahathir mempunyai sejarah masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan koronari pada 1989 dan 2007.
Pada Januari lalu, beliau turut mengalami keretakan pinggul selepas terjatuh di rumah.
Atas faktor usia, Mahathir menjalani rawatan fisioterapi bagi kecederaan berkenaan dan tidak menjalani pembedahan.
29 kawasan catat IPU tidak sihat, Selangor paling terjejas
KPMG cadang SST lebih mesra perniagaan: Bernama
MEF: Kenaikan gaji minimum perlu ikut kemampuan majikan
40,000 unit dalam 20 bulan, Proton e.MAS terus berkembang
Ekonomi Malaysia terus kukuh, S&P kekal penarafan A-
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum