UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan beberapa isu dan kepincangan tatakelola dalam pengurusan UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) hasil siasatan berhubung kerugian dialami syarikat pegangan pelaburan itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman berkata pihaknya akan mengemukakan syor penambahbaikan kepada UiTM Holdings bagi menutup kelompongan yang dikenal pasti sepanjang siasatan.
Menurutnya, penelitian terhadap aspek tatakelola merupakan sebahagian daripada proses penyiasatan SPRM, termasuk mengenal pasti kelemahan dalam prosedur serta pengurusan organisasi.
“Walaupun tatakelola itu bukan suatu kesalahan yang boleh dipertuduhkan di mahkamah, syor adalah satu penambahbaikan.
“Maknanya pihak SPRM akan mengesyorkan penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap apa jua proses yang kami dapati ada kepincangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-59 di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Abd Halim berkata siasatan terhadap UiTM Holdings yang bermula sejak 2023 masih diteruskan dan tidak terikat dengan tempoh tertentu selagi pihak penyiasat masih perlu mendapatkan maklumat, dokumen serta bahan bukti berkaitan.
“Selagi belum selesai penyiasatan untuk mendapatkan maklumat, eksibit bukti dan dokumen, selagi itulah kes akan terus disiasat,” katanya.
Beliau berkata setakat ini siasatan menjurus kepada seorang suspek, namun skop penyiasatan boleh diperluaskan sekiranya SPRM menemukan elemen atau bukti baharu yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Setakat ini, penyiasatan menjurus kepada seorang suspek, namun jika terdapat elemen atau bahan bukti baharu, maka penyiasatan tersebut akan diteruskan kepada pihak lain,” katanya.
Perkembangan itu berlaku selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings, Azlizan Fadzil, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM37.37 juta pada 2017.
Kes tersebut menjadi sebahagian daripada siasatan SPRM terhadap pengurusan dan kerugian yang dikaitkan dengan UiTM Holdings, sebuah syarikat pegangan pelaburan berkaitan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Siasatan SPRM turut memberi perhatian kepada proses pengurusan serta tatakelola syarikat bagi mengenal pasti punca kelemahan dan langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.
Beri ruang Tun M hadapi kehilangan isteri tercinta: Mukhriz
Belanjawan 2027: Mahasiswa, IPT diberi perhatian khusus kerajaan
Video KLIA tular: Shuhaily tampil beri penjelasan
Dr Mahathir ziarah pusara isteri dalam suasana hiba
KPM hentikan program penceramah bebas susulan dakwaan tular
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum