Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan amalan tatakelola yang baik terus dipertahankan dan penguatkuasaan diperkukuh bagi membendung kegiatan pencerobohan tanah tanpa kebenaran.
Beliau berkata, isu pencerobohan tanah tidak boleh dipandang ringan kerana tindakan berkenaan berpotensi menjejaskan perancangan negara selain memberi kesan kepada kepentingan rakyat.
Menurutnya, perkara itu ditegaskan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 di Putrajaya hari ini.
“Saya tegaskan, amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dan sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas mesyuarat itu.
Anwar berkata aspek penguatkuasaan perlu diperkukuh, selain setiap isu yang dibangkitkan pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu ditangani dengan segera.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan maklumat tepat dan telus dapat disampaikan kepada masyarakat secara menyeluruh serta berkesan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pengurusan tanah perlu mengambil kira cabaran perubahan iklim yang semakin memberi kesan terhadap kelestarian alam sekitar.
“Dalam mendepani kesan perubahan iklim, urus tadbir tanah tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada keuntungan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.
“Pengurusan tanah mesti dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap inisiatif berkaitan pengurusan tanah dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengambil kira kepentingan rakyat serta alam sekitar.
Majlis Tanah Negara merupakan platform utama penyelarasan dasar berkaitan tanah antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Pengurusan tanah turut melibatkan isu pembangunan, pemuliharaan alam sekitar, perancangan guna tanah serta penguatkuasaan terhadap pencerobohan dan penggunaan tanah tanpa kebenaran.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan