Ahmad Fadhli Shaari dan Nabil Halim bersama pasukan peguam masing-masing selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. (Gambar Facebook).
Pertikaian antara Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berhubung isu karikatur yang tular tahun lalu akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Penyelesaian itu dicapai selepas Nabil mengambil pendekatan terbuka memohon maaf kepada Fadhli atas kenyataan yang mencetuskan pertikaian, manakala Fadhli bersetuju menarik balik saman fitnah yang difailkannya.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata persetujuan itu dibuat bagi menamatkan pertikaian dan membolehkan mereka kembali memberi tumpuan kepada perkara lebih penting, terutama kepentingan rakyat dan negara.
“Pihak-pihak telah bersetuju menyelesaikan pertikaian ini secara baik dan menamatkan perkara ini bagi membolehkan masing-masing memberikan tumpuan kepada perkara-perkara lain yang lebih mustahak, khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut mereka, penyelesaian tersebut dicapai tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh mana-mana pihak.
Nabil turut memohon maaf kepada Fadhli atas kenyataan yang menjadi punca pertikaian itu, dengan langkah berkenaan diambil bagi menutup isu berkenaan secara baik.
“Langkah ini diambil dengan hasrat untuk menutup pertikaian tersebut secara baik dan membolehkan kedua-dua pihak bergerak ke hadapan,” menurut kenyataan itu.
Susulan persetujuan tersebut, Fadhli bersetuju menarik balik saman selepas terma penyelesaian yang dipersetujui bersama direkodkan oleh mahkamah.
Fadhli diwakili peguam Mardhiyyah Johari dan Ahmad Amzar Ahmad Azlan, manakala Nabil diwakili Khairul Naim Rafidi dan Asyraaf Abu Bakar Hamzah.
Pertikaian antara kedua-dua pemimpin politik itu tercetus tahun lalu selepas Nabil menerima surat tuntutan daripada Fadhli susulan kenyataan berkaitan satu hantaran pemimpin PAS berkenaan di media sosial.
Hantaran itu memaparkan karikatur kambing dan biri-biri berebut pisang, dengan seekor monyet bertindak sebagai hakim. Karikatur berkenaan mencetuskan kritikan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kes berkenaan kemudiannya dibawa ke mahkamah sebelum kedua-dua pihak memilih untuk menyelesaikannya secara baik hari ini.
PRN Melaka: PH tangguh pengumuman calon ke 24 Oktober
Penggantungan PN kekal, mahkamah dengar semakan 22 Oktober
Isu 47 Kes Zahid: Azalina jawab kritikan Rayer, kuasa pendakwaan terletak pada AG
Syed Saddiq kekal rekod hadir penuh Parlimen, tidak pernah ponteng
Rayer hargai kelulusan RM5 juta bina masjid di Jelutong
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum