Perikatan Nasional.
Perikatan Nasional (PN) gagal mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan.
Bagaimanapun, Mahkamah menetapkan 22 Oktober ini untuk mendengar permohonan PN bagi mendapatkan penggantungan secara dua pihak atau ‘inter partes’ terhadap notis berkenaan.
Hakim Azizan Md Arshad turut membenarkan PN meneruskan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS, sekali gus membuka ruang kepada gabungan itu mempertikaikan kesahan keputusan berkenaan di mahkamah.
Azizan menegaskan, kebenaran memulakan semakan kehakiman itu tidak bermaksud mahkamah sudah memutuskan tindakan RoS sebagai sah atau tidak di sisi undang-undang.
Sebaliknya, isu berkenaan akan diteliti dengan lebih mendalam pada peringkat substantif semakan kehakiman.
Antara persoalan utama yang perlu diputuskan ialah sama ada kuasa RoS di bawah Akta Pertubuhan 1966 membolehkan penggantungan aktiviti PN diperluaskan sehingga menghalang gabungan itu daripada menyertai keseluruhan proses pilihan raya.
Mahkamah turut mengambil kira kepentingan awam serta keperluan menyelesaikan pertikaian itu dalam tempoh sesuai, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Permohonan berkenaan difailkan lima pemimpin parti komponen PN, diketuai Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan.
Empat pemohon lain ialah Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People’s Party, N Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Saifuddin Abdullah; dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair, Sazmi Miah.
PN sebelum ini mendakwa kegagalan menangguhkan atau membatalkan notis berkenaan sebelum hari penamaan calon akan menjejaskan penyertaan gabungan itu dalam PRN Melaka ke-16.
Gabungan itu turut mendakwa penggantungan berkenaan menghalangnya menjalankan kegiatan politik seperti biasa, termasuk memberikan kuasa kepada calon untuk bertanding menggunakan nama dan logo PN.
Menurut PN, keputusan mahkamah yang hanya diperoleh selepas hari penamaan calon tidak akan dapat memulihkan peluang gabungan itu untuk bertanding menggunakan identiti rasminya.
RoS mengeluarkan notis kepada PN pada 22 September sebelum penggantungan semua aktiviti gabungan itu berkuat kuasa pada 23 September, di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
PRN Melaka: PH tangguh pengumuman calon ke 24 Oktober
Isu 47 Kes Zahid: Azalina jawab kritikan Rayer, kuasa pendakwaan terletak pada AG
Syed Saddiq kekal rekod hadir penuh Parlimen, tidak pernah ponteng
Rayer hargai kelulusan RM5 juta bina masjid di Jelutong
Kes DNAA Zahid: Badan Peguam tunggu keputusan rayuan 14 Jun tahun depan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum