Sivamalar Genapathy.
Belanjawan MADANI 2027 perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial yang lebih baik, khususnya bagi masyarakat India serta golongan wanita muda.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy, berkata belanjawan itu bukan sekadar menyediakan bantuan jangka pendek untuk menangani kos sara hidup, malah perlu memperkukuh asas ekonomi rakyat melalui pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan keusahawanan.
Beliau berkata peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menunjukkan usaha kerajaan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, namun peningkatan pendapatan dan peluang ekonomi perlu diberikan perhatian seiring.
“Membantu rakyat hari ini penting. Membina kekuatan ekonomi mereka untuk masa depan jauh lebih penting,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sivamalar turut menyambut baik peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan kepada RM47.7 bilion, termasuk tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak pada 2027.
Bagi masyarakat India, beliau berkata peruntukan RM150 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), kemudahan pembiayaan RM150 juta melalui TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), serta RM50 juta bagi penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membawa komitmen keseluruhan RM350 juta, termasuk pembiayaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keberkesanan inisiatif itu perlu dinilai berdasarkan hasil pelaksanaan, termasuk jumlah belia yang mendapat pekerjaan dan peningkatan pendapatan, selain akses pembiayaan kepada usahawan kecil.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Srikandi PKR, Nurhidayah Che Rose, berkata Belanjawan 2027 turut membuka ruang kepada wanita muda untuk menyertai sektor berkemahiran tinggi menerusi peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta sasaran 30,000 peluang pekerjaan baharu melalui Bakat MADANI.
Menurutnya, wanita muda perlu mendapat akses kepada pekerjaan bergaji tinggi, khususnya dalam bidang teknologi, digital dan industri masa hadapan.
“Peruntukan latihan perlu diterjemahkan kepada peluang kerjaya dan peningkatan pendapatan yang nyata,” katanya dalam kenyataan berasingan pada Sabtu.
Nurhidayah turut menyambut baik Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi penyediaan peralatan dan latihan kepada 40,000 penerima, khususnya wanita. Beliau berkata proses permohonan perlu dipermudah, pemilihan penerima dibuat secara telus dan bimbingan berterusan disediakan bagi memastikan perniagaan dapat berkembang.
Beliau turut menekankan kepentingan insentif caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja gig yang layak, termasuk wanita muda yang memerlukan perlindungan sosial serta simpanan persaraan.
Selain itu, bantuan SARA MADANI sebanyak RM100 yang diberikan dua kali kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR disifatkan dapat membantu meringankan perbelanjaan asas.
Sivamalar turut menyentuh peruntukan lebih RM100 juta bagi prasarana Kampung Baru Cina, RM80 juta untuk penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam berdaftar serta pengumuman berkaitan SJKT Ladang Pamol.
Beliau juga menghargai pengiktirafan terhadap Thirukkural dan Thiruvalluvar dalam ucapan belanjawan, selain langkah memperluas elaun sara hidup RM2,500 kepada 90,000 pelajar Tingkatan Enam dan meningkatkan kelayakan cuti bersalin penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan daripada 360 kepada 490 hari.
Kedua-dua pemimpin PKR itu menegaskan kejayaan Belanjawan 2027 bergantung pada keberkesanan pelaksanaan, termasuk memastikan bantuan dan peluang yang diumumkan sampai kepada golongan sasaran.
Mereka berpandangan pertumbuhan ekonomi perlu disertai peningkatan taraf hidup, akses pendidikan yang lebih saksama serta peluang pekerjaan yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum