Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim memberi penjelasan mengenai agenda pendidikan tinggi dan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas perkara itu dibangkitkan pelakon, Azhar Sulaiman.
Adam Adli menerusi responsnya pada Rabu berkata, kerajaan sudah mula melaksanakan usaha menyediakan pendidikan tanpa beban hutang secara berperingkat, terutama untuk golongan yang paling memerlukan.
“Waalaikumussalam. Selamat pagi Behar.
“Saya ucap terima kasih Behar selalu beri perhatian terhadap agenda pendidikan tinggi dan kepentingan anak-anak kita,” katanya.
Menurut beliau, antara langkah yang sudah dimulakan ialah pelupusan hutang masa depan PTPTN bagi 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah berdasarkan garis kemiskinan.
Pada masa sama, yuran pengajian bagi pelajar orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut dikecualikan.
“Untuk tahun ini sahaja, bentuk pendidikan percuma yang kita inginkan sebenarnya sudah mula dilaksanakan secara berperingkat.
“Kita mulakan dengan melupuskan hutang masa depan PTPTN bagi 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Pada masa yang sama, yuran pengajian bagi pelajar OKU di IPTA juga kini dikecualikan,” katanya.
Sebelum ini, Azhar membangkitkan isu PTPTN dan meminta kerajaan mengambil tindakan sebelum akhir tahun ini, selain menyuarakan harapan agar agenda berkenaan diberi perhatian sekiranya kerajaan terus diberi mandat untuk penggal seterusnya.
Mengulas perkara itu, Adam Adli berkata, beberapa langkah berkaitan pendidikan tinggi dan PTPTN sudah dibincangkan, namun tidak semuanya boleh dilaksanakan secara serta-merta.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada kelompok yang paling memerlukan dengan menyelesaikan beban hutang masa depan mereka.
“Mereka boleh meneruskan dan menamatkan pengajian tanpa menanggung hutang baharu, sekali gus menghapuskan risiko pinjaman tersebut menjadi tunggakan atau NPL pada masa hadapan.
“Langkah ini bukan hanya untuk pelajar baharu, sebaliknya turut melibatkan mereka yang sudah berada dalam sistem dan sedang mengikuti pengajian,” katanya.
Adam Adli mengakui masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam dasar pendidikan tinggi, termasuk usaha memperluaskan akses pendidikan tanpa beban hutang.
“Berpuas hati? Tidak. Sudah tentu tidak sempurna. Malah, tidak ada istilah dasar yang sempurna kerana setiap dasar sentiasa memerlukan penambahbaikan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi akan terus memastikan dasar yang diperkenalkan memberi manfaat lebih besar kepada pelajar dan keluarga mereka.
“Yang penting sekarang ialah memastikan langkah ini benar-benar berjalan, kemudian terus berusaha supaya ruang pendidikan tanpa beban hutang ini dapat diperluaskan kepada lebih ramai,” katanya.
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum