Belanjawan 2027
Kerajaan memperuntukkan RM5 bilion menerusi Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memperkukuh ketersambungan internet di seluruh negara, termasuk memperluas liputan ke kampung Orang Asli serta laluan pengangkutan utama.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini berkata, pelaburan itu antara inisiatif strategik Belanjawan 2027 untuk memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, memperluas akses digital dan meningkatkan keselamatan ruang siber.
Pelaksanaan JENDELA merangkumi liputan 4G di semua kampung Orang Asli, akses internet di sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan 1,700 kilometer landasan kereta api, selain pembangunan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi pelaksanaan projek sistem rekod perubatan elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara.
Kempen Internet Selamat turut diperluas ke semua sekolah dengan tumpuan kepada usaha menangani buli siber dan eksploitasi kanak-kanak.
Dalam usaha memperluas akses maklumat dan memperkukuh literasi digital rakyat, kerajaan menyediakan RM142 juta untuk memperhebat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Sementara itu, lebih RM130 juta diperuntukkan bagi menyokong industri kreatif negara, khususnya sektor perfileman, muzik dan penghasilan kandungan tempatan.
Antara langkah yang dirancang ialah pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia. Insentif tambahan turut disediakan bagi karya yang mengetengahkan budaya dan nilai kenegaraan Malaysia.
Kerajaan juga akan melaksanakan pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.
Selain itu, usaha melahirkan 20 harta intelek baharu serta mengkomersialkan watak tempatan di peringkat antarabangsa akan dilaksanakan bagi meningkatkan nilai ekonomi kandungan kreatif Malaysia.
Menurut Kementerian Komunikasi, Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” yang dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu menjadi asas kepada usaha memperkukuh infrastruktur komunikasi, nilai kenegaraan dan ekonomi jingga negara.
“Kementerian Komunikasi yakin Belanjawan 2027 dapat meningkatkan lagi keterhubungan komunikasi, literasi digital serta mencambah hasil industri kreatif yang berkualiti,” menurut kenyataan itu.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum