Belanjawan 2027: Bantuan OKU Naik RM1.5 Bilion, Elaun Bulanan Bertambah

October 9, 2026 · Isu semasa

Kerajaan meningkatkan peruntukan keseluruhan bantuan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) kepada RM1.5 bilion dalam Belanjawan 2027, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 300,000 individu di seluruh negara.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, berkata peningkatan itu turut melibatkan kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik kepada RM600 sebulan berbanding RM500 sebelum ini.

Selain itu, ambang pendapatan bagi melayakkan seseorang menerima Elaun Pekerja OKU dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,700 sebelum ini, bagi memperluas peluang golongan berkenaan mendapat bantuan kerajaan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini, Anwar turut mengumumkan peningkatan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) daripada RM150 kepada RM200 sebulan.

Kenaikan itu dijangka memanfaatkan 150,000 murid berkeperluan khas, termasuk kanak-kanak autistik.

Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas juga dinaikkan kepada RM300 daripada RM250, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 guru pendidikan khas.

“Dua Pusat Permata Kurnia akan dibina, iaitu di Melaka dan Pahang sebagai pusat khusus untuk anak-anak autistik diberi pendidikan, sokongan dan latihan,” katanya.

Kerajaan turut merancang membuka lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan desa seluruh negara bagi memastikan kanak-kanak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat bimbingan awal yang lebih berkesan.

Dalam usaha memperkukuh kemudahan pemulihan, sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan dinaik taraf menjadi Pusat Terapi Khusus bagi membantu golongan OKU, termasuk individu dengan Sindrom Down.

Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 20,000 OKU Sindrom Down berdaftar. Kerajaan juga akan melatih 3,000 penjaga OKU baharu dengan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menerima peruntukan RM445 juta untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan masyarakat Orang Asli.

Antara projek dirancang ialah penanaman semula di Pos Poi, Sungai Siput, Perak, serta pembinaan tabika Orang Asli di Kampung Angkek dan Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan.

Kerajaan turut bersetuju membina sebuah asrama khas berkapasiti 100 tempat di daerah Kinta, Perak, bagi membantu anak-anak Orang Asli yang tinggal jauh dari sekolah.

Menurut Anwar, kemudahan itu penting bagi mengurangkan risiko keciciran pendidikan dalam kalangan murid yang menghadapi kesukaran berulang-alik ke sekolah setiap hari.

Peningkatan bantuan OKU dan peruntukan pembangunan Orang Asli mencerminkan usaha kerajaan memperluas akses kepada pendidikan, penjagaan serta kemudahan asas, khususnya bagi golongan yang memerlukan sokongan tambahan.

Berita berkaitan
Rayer hargai kelulusan RM5 juta bina masjid di Jelutong
5 jam lalu· Politik
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
5 jam lalu· Isu semasa
AMK: GPS, GRS sanggup terima PM daripada PAS?
7 jam lalu· Politik
Belanjawan 2027: Bantuan RM80 bilion lindungi kuasa beli rakyat
12 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
2 jam lalu · Isu semasa
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
2 jam lalu · Isu semasa
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
5 jam lalu · Isu semasa
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
5 jam lalu · Isu semasa
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok