Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Belanjawan 2027 diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi menerusi insentif strategik, pembangunan industri tempatan dan penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, tumpuan negara bukan sekadar menarik kemasukan modal asing, sebaliknya memastikan pelaburan menjana nilai tambah, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan memberi manfaat kepada syarikat tempatan.
Menurutnya, pendekatan itu selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang memberi penekanan kepada hubungan lebih kukuh antara pelabur bernilai tinggi dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Keutamaan negara bukan sekadar menarik pelaburan, sebaliknya memastikan pelaburan berkenaan menjana nilai tambah dan memberi impak jangka panjang kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, gabungan insentif cukai, pembangunan infrastruktur dan pengukuhan bakat tempatan mampu meningkatkan daya saing Malaysia dalam merebut peluang pelaburan global.
Antara langkah utama ialah pelanjutan insentif Global Services Hub (GSH) sehingga 30 tahun, dengan kadar cukai konsesi antara lima hingga 15 peratus, selain pengecualian cukai pegangan dan duti setem 100 peratus bagi aktiviti perbendaharaan.
Dalam sektor ekonomi hijau, pelanjutan Galakan Cukai Teknologi Hijau (GITA) sehingga 2030 serta pelaburan infrastruktur grid dan tenaga bernilai RM17 bilion melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB), UEM Lestra dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelaburan mampan.
Pembangunan kawasan strategik seperti Nexus Sedenak di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Zon Ekonomi Khas Sibu, NCER Agribio Economic Zone dan Lumut Maritim Industrial City (LuMIC) turut berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi wilayah.
Bagi memperkukuh industri tempatan, pelaburan RM25 bilion menerusi inisiatif GLIC GEAR-uP termasuk RM1.2 bilion untuk rantaian semikonduktor dan RM100 juta bagi Dana Pelaburan Strategik Pulau Pinang dijangka menyokong pertumbuhan sektor pembuatan termaju.
Usaha itu juga bertujuan membantu syarikat Malaysia beralih kepada aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk cip dan pembuatan pintar.
PKS pula bakal mendapat manfaat daripada tambahan RM5 bilion bagi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS. Vendor automotif tempatan turut berpeluang menikmati potongan cukai sehingga RM5 juta sekiranya memindahkan operasi ke Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.
Dalam aspek pembangunan tenaga kerja, peruntukan RM8 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta RM3 bilion melalui HRD Corp bagi latihan kemahiran, dijangka membantu memenuhi permintaan industri terhadap pekerja berkemahiran tinggi.
Belanjawan itu turut menggariskan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, selain langkah meningkatkan pendapatan pekerja dalam sektor tertentu.
Sikh Shamsul berkata, MIDA akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), agensi kerajaan serta pihak industri bagi mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan.
“Agenda #InvestLokal penting bagi memastikan pelaburan berkualiti tinggi bukan sahaja memperkukuh industri tempatan, malah mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta menjana manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan strategi itu bergantung pada keupayaan negara menghubungkan pelaburan baharu dengan syarikat tempatan, sekali gus memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum