Parti Bersatu.
Parti Bersatu akan mengumumkan perincian persiapannya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk kerusi yang bakal ditandingi, pada 29 Oktober ini.
Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata, penyertaan parti itu dalam pilihan raya berkenaan telah dimuktamadkan menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Isnin malam.
Menurutnya, beberapa perkara berkaitan pembahagian kerusi masih diperhalusi dan dijangka diselesaikan dalam tempoh satu atau dua hari.
“Maknanya satu, memang kita menyertai; kedua, saya tak payah nak jelaskan di tempat mana kita akan bertanding dan persiapan-persiapan yang sudah pun kita mulakan sekarang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPT Bersatu di ibu pejabat parti malam tadi.
Persiapan Bersatu itu berlangsung ketika hubungan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) turut menjadi perhatian susulan perkembangan berkaitan tindakan tatatertib terhadap parti berkenaan.
Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata Bersatu belum menerima sebarang surat rasmi daripada PN berhubung prosiding tatatertib yang diumumkan terhadap partinya.
Beliau mempersoalkan asas tindakan itu dengan menegaskan Bersatu tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata partinya telah membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung dakwaan pelanggaran peraturan membabitkan PAS dan kepimpinan PN di peringkat nasional.
Menurutnya, RoS mempunyai kuasa di bawah Akta Pertubuhan untuk meneliti perkara berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Jadi agak aneh dan luar biasa kalau Majlis Tertinggi PN boleh membuat keputusan nak mengambil tindakan untuk menghukum kita. Apa salah kita?” soalnya.
Bagaimanapun, beliau berkata Bersatu akan menunggu perkembangan lanjut memandangkan tiada surat rasmi diterima setakat ini.
Mesyuarat MPT turut membincangkan urusan dalaman parti, termasuk persiapan menghadapi persidangan bahagian serta keputusan mengadakan Perhimpunan Agung Bersatu pada penghujung Januari tahun depan.
Sementara itu, Muhyiddin berkata persiapan menghadapi PRN Sarawak belum dibincangkan kerana pilihan raya itu masih belum menjadi keutamaan ketika ini.
“Kita belum bincang lagi pasal agak ada masa lagilah. Itu lepas Melaka kita fikir lah apa nak buat,” katanya.
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
NGO desak SPRM, AG jelaskan status siasatan RM1.1 bilion libat Rafizi
Khabar angin letak jawatan Menteri Besar, Ismail tampil beri penjelasan
Zahid nafi belanja KKDW terlebih RM2.1 bilion
Parlimen: Rayer diminta hantar surat rasmi rujuk Takiyuddin ke jawatankuasa
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum