Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion

October 28, 2026 · Isu semasa

Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) melonjak 69.1 peratus kepada RM282.07 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, meskipun berdepan tekanan tarif tambahan yang dikenakan Washington terhadap sejumlah produk.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan jumlah dagangan Malaysia-AS turut meningkat 39.6 peratus kepada RM378.70 bilion dalam tempoh sama, mencerminkan prestasi perdagangan yang kekal kukuh.

Menurut MITI, pertumbuhan eksport itu didorong terutama oleh permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya semikonduktor, susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembinaan pusat data.

“Faktor kritikal yang turut memangkin pertumbuhan ini ialah kelebihan strategik Malaysia yang mendapat pengecualian daripada pengenaan tarif tambahan oleh AS bagi kebanyakan produk semikonduktor dan E&E,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

MITI menjelaskan sektor E&E menyumbang kira-kira 64.2 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia ke AS, dengan produk semikonduktor merangkumi 44 peratus daripada eksport E&E berkenaan.

Bagaimanapun, bukan semua sektor menikmati pertumbuhan sama. Eksport sarung tangan getah Malaysia ke AS merosot 1.6 peratus kepada RM5 bilion, manakala eksport perabot turun 19.2 peratus kepada RM3.77 bilion.

Eksport peranti perubatan turut mencatatkan penurunan 12 peratus kepada RM8.74 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Kementerian itu turut mengakui beberapa industri utama negara berdepan tekanan untuk menyerap kos tarif atau menawarkan diskaun kepada pembeli bagi mengekalkan daya saing, meneruskan eksport dan mempertahankan akses ke pasaran AS.

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab soalan Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai kesan tarif AS terhadap industri Malaysia sepanjang 2026 serta usaha meneroka pasaran alternatif untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengeksport produk mereka.

Mengulas strategi mengurangkan risiko perdagangan, MITI menegaskan kepelbagaian pasaran penting bagi mengelakkan kebergantungan berlebihan terhadap satu pasaran dan meningkatkan daya tahan ekonomi negara.

“MITI terus giat berusaha meningkatkan akses pasaran serta pembukaan pasaran baharu melalui pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang dimeterai, di samping meneroka pasaran bukan tradisional di Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin dan Asia Selatan,” menurut kementerian itu.

Dalam jawapan berasingan kepada Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok), MITI memaklumkan pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) bagi sektor perkhidmatan sedang dimuktamadkan selepas kerangka itu diperkenalkan untuk sektor perkilangan mulai 1 Mac 2026.

Menurut kementerian itu, NIF mengubah pendekatan insentif cukai daripada berasaskan produk dan aktiviti kepada penilaian berdasarkan hasil serta impak ekonomi yang dijana sesuatu projek.

Pembaharuan itu bertujuan memastikan insentif pelaburan memberikan nilai tambah lebih besar kepada ekonomi negara, termasuk melalui penciptaan pekerjaan berkualiti.

Berita berkaitan
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
24 jam lalu· Isu semasa
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
October 25, 2026· Isu semasa
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
October 23, 2026· Isu semasa
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
October 23, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
October 28, 2026 · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
October 28, 2026 · Isu semasa
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
1 jam lalu · Isu semasa
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
1 jam lalu · Isu semasa
Op Viking: Polis sita aset RM409 juta berkait mafia korporat, 70 individu dipanggil
1 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok