Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran acara HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol yang dikaitkan dengan program itu tidak ditarik balik sepenuhnya.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, pendirian itu selaras dengan Kod Sukan Selamat yang melarang syarikat berkaitan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja atau mempromosikan aktiviti sukan di bawah kelulusan serta sokongan KBS.
Beliau berkata, permohonan penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember depan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan kementerian.
“KBS tidak memberikan sebarang kelulusan atau penyaluran dana kepada acara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Isu itu timbul selepas tular tangkap layar pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai rakan rasmi bir atau ‘Official Beer Partner’ bagi acara berkenaan.
Menurut Taufiq, Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 secara jelas melarang mana-mana individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan produk tembakau, rokok elektronik atau minuman beralkohol daripada menganjur, menaja, mempromosi, mengiklan atau meletakkan cap dagangan dalam aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS.
Sehubungan itu, kementerian menetapkan semua bentuk tajaan berkenaan perlu ditarik balik sepenuhnya, termasuk pengeluaran logo, cap dagangan dan bahan promosi syarikat terbabit daripada semua saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan.
“KBS tidak akan meluluskan penganjuran acara ini selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, KBS turut mengingatkan penganjur mengenai peruntukan Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), yang menetapkan sesebuah syarikat tidak boleh terlibat dalam aktiviti sukan melainkan dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh membawa hukuman denda antara RM50,000 hingga RM500,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
KBS menegaskan peraturan berkenaan terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat yang terlibat dalam industri tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol.
Pendirian itu bertujuan memastikan penganjuran sukan di negara ini berlangsung dalam persekitaran yang selamat dan sihat untuk semua peserta.
Pengasingan AG dan Pendakwa Raya ambil masa setahun, perlu 148 undi MP
Beras masih cukup, jangan buat pembelian panik: Mohamad Sabu
MMM mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
Kes scam: Janji untung 50 peratus, pesara guru rugi RM521,787
Seludup rokok: Datuk antara tiga ditahan SPRM, rasuah polis RM1 juta
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum