Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari.
Kerajaan sedang menilai sama ada penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) setiap tahun di Malaysia mampu memberikan pulangan ekonomi yang setimpal sebelum memutuskan untuk mengembalikan acara berprestij itu secara tetap ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, penilaian menyeluruh perlu dilakukan memandangkan penganjuran F1 memerlukan kos yang besar, selain mengambil kira kebolehlaksanaan, pulangan pelaburan (ROI) dan kesiapsiagaan infrastruktur.
Menurutnya, penganjuran F1 GP Bahrain di Malaysia dari 2 hingga 4 Oktober lalu diunjurkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM950 juta. Namun, kerajaan perlu memastikan manfaat sama mampu dikekalkan sekiranya perlumbaan itu dianjurkan setiap tahun.
“Kalau kita lihat pada 2017, penjualan tiket kita hanya lebih kurang 30,000 berbanding tahun ini mencecah hampir 100,000 tiket,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai kemungkinan F1 dianjurkan secara tetap di Malaysia.
Mohammed Taufiq berkata, terdapat juga cadangan supaya perlumbaan itu dianjurkan secara berkala, termasuk setiap beberapa tahun menerusi kerjasama dengan negara lain, namun perkara itu masih di peringkat awal.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberi mandat mengetuai jawatankuasa penilaian yang turut melibatkan semua kementerian serta Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Laporan penilaian itu dijangka siap menjelang akhir November sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk menentukan hala tuju penganjuran F1 di Malaysia.
Beliau menegaskan keputusan kerajaan perlu mengambil kira kepentingan pembangunan sukan secara menyeluruh, termasuk memastikan perbelanjaan untuk membawa kembali F1 tidak menjejaskan peruntukan pembangunan atlet dan sukan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammed Taufiq berkata KBS memperuntukkan RM5.6 juta pada 2025 bagi melaksanakan 29 program yang merangkumi 159 siri aktiviti dan pertandingan sukan permotoran dua serta empat roda di seluruh negara.
Pembangunan bakat tempatan diteruskan tahun ini menerusi pelbagai program termasuk motocross, go-kart, drift, rali dan perlumbaan mini bike di bawah inisiatif Rakan Muda.
SIC turut menyokong pelumba tempatan menerusi kejohanan seperti Malaysia Touring Car Championship (MTCC) dan Sepang 1000km, selain meneroka kerjasama dengan industri bagi memperkukuh pembangunan bakat sukan permotoran negara.
Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah F1 di Litar Antarabangsa Sepang dari 1999 hingga 2017. Perlumbaan itu dihentikan selepas kerajaan mengambil kira kos penganjuran yang tinggi serta pulangan yang semakin mencabar.
Penganjuran F1 GP Bahrain di Sepang baru-baru ini membuka semula perbincangan mengenai potensi Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan bertaraf dunia itu, namun keputusan muktamad bergantung pada hasil penilaian kerajaan.
Kes cabul anak pegawai kanan polis: Arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah
Anwar doakan Ustaz Wadi Annuar segera pulih selepas terlibat kemalangan
Belanjawan 2027: STR, SARA RM16 bilion kekalkan kuasa beli rakyat
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum