Isu lambakan rumah.
Sebanyak 33,094 unit rumah siap dibina masih belum terjual di seluruh negara dengan nilai keseluruhan mencecah RM17.8 bilion bagi suku kedua 2026, menunjukkan isu lambakan hartanah terus menjadi cabaran kepada pasaran perumahan negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata jumlah itu meningkat sebanyak 293 unit atau 0.9 peratus berbanding 32,801 unit bernilai RM16.37 bilion yang direkodkan pada suku pertama tahun ini.
“Jumlah ini menunjukkan isu lambakan rumah siap dibina tetapi tidak terjual masih menjadi cabaran dalam pasaran perumahan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan jumlah rumah siap dibina tetapi belum terjual bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Menurut Kor Ming, keadaan itu secara umumnya berpunca daripada ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran dalam pasaran hartanah.
Katanya, antara faktor utama ialah pembangunan rumah yang tidak memenuhi keperluan penduduk setempat, termasuk dari segi jumlah penawaran, kualiti kediaman dan harga yang tidak sepadan dengan tahap pendapatan pembeli.
Bagi menangani isu berkenaan, KPKT menerusi Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 akan memberi penekanan kepada perancangan pembangunan perumahan yang lebih bersasar dan berasaskan data.
Pendekatan itu mengambil kira kemampuan pendapatan rakyat, keperluan perumahan serta permintaan sebenar mengikut lokasi bagi mengelakkan pembangunan projek yang tidak selari dengan keperluan pasaran.
“KPKT juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak industri bagi memastikan pembangunan perumahan lebih seimbang dengan permintaan pasaran,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan risiko lambakan rumah tidak terjual, malah memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman berkualiti, mampu milik dan selesa untuk didiami.
Isu rumah siap dibina tetapi tidak terjual atau overhang sering dikaitkan dengan ketidakpadanan antara jenis hartanah yang dibangunkan dengan kemampuan serta keperluan pembeli.
Peningkatan nilai rumah tidak terjual daripada RM16.37 bilion kepada RM17.8 bilion dalam tempoh satu suku turut memperlihatkan cabaran yang perlu ditangani supaya sektor perumahan terus berkembang tanpa meninggalkan keperluan sebenar rakyat.
MCMC uji internet di 16 stesen ECRL, liputan terowong turut dipantau
Anwar: Kestabilan politik yakinkan Google labur RM61 bilion
Daiso labur RM1.2 bilion, bina hab pengedaran terbesar dunia di Malaysia: PMX
Kenderaan rosak akibat RON95, Petron dan Caltex tawar pampasan: Armizan
NUJ mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum