Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki.
UMNO menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Najib Razak akan melunaskan denda RM50 juta hari ini susulan kutipan sumbangan awam menerusi Tabung Solidariti Najib Razak masih belum mencapai jumlah diperlukan.
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan setakat ini masih belum mencukupi untuk membolehkan pembayaran denda berkenaan dibuat.
“Masih belum cukup lagi. Jadi tak betul (khabar angin) itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi enggan mendedahkan jumlah terkini kutipan yang diterima menerusi tabung berkenaan sejak ia dilancarkan pada 18 September lalu.
Penjelasan itu sekali gus menepis spekulasi yang tersebar kononnya Najib akan membuat pembayaran denda RM50 juta pada 4 November, seperti yang dikaitkan dengan syarat pengampunan bersyarat diterimanya.
Untuk rekod, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September lalu memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk kewajipan menjelaskan denda RM50 juta.
Susulan perkembangan itu, UMNO menggerakkan kutipan sumbangan awam menerusi Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu mengumpulkan dana untuk pembayaran denda berkenaan.
Setakat ini, parti itu belum mengumumkan jumlah keseluruhan sumbangan yang berjaya dikutip atau tarikh pembayaran akan dibuat.
Zaliha cabar PAS bahas kandungan CSA, bukan main sentimen agama
CSA bukan Dajal ketika PAS berkuasa, Mahfuz bidas Hadi
PAS dulu terima MoU, sekarang CSA pula dikaitkan dengan Dajal: Kamil
CSA: Azalina tegur Hadi, istilah Dajal keterlaluan
Adly bidas Hadi: Buktikan jika CSA jejaskan rakyat seperti didakwa PAS
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum