Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali.
Dua syarikat pembekal bahan api, Petron dan Chevron yang mengendalikan jenama Caltex, mula membayar pampasan secara ihsan kepada pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan enjin susulan isu pencemaran petrol RON95.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, kedua-dua syarikat sudah memulakan tindakan susulan terhadap aduan kerosakan kenderaan yang disahkan sahih, meskipun siasatan terperinci masih berjalan.
Beliau berkata, pembayaran itu dilaksanakan menerusi program pemulihan pelanggan berdasarkan kriteria tertentu dan bukan pengakuan terhadap sebarang kesalahan atau liabiliti oleh syarikat terbabit.
“Pembayaran tersebut akan diberikan kepada pelanggan yang telah mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung keputusan analisis Jabatan Kimia terhadap sampel petrol RON95 serta tindakan kerajaan membantu pemilik kenderaan yang terjejas.
Mengulas perkembangan siasatan, Armizan berkata, analisis awal Jabatan Kimia terhadap 43 sampel petrol mendapati tiada unsur pencemaran air dikesan setakat ini.
Menurutnya, laporan awal bertarikh 29 Oktober menunjukkan kandungan air berada pada tahap kurang daripada 0.05 peratus, iaitu di bawah had minimum pengesanan yang boleh dilaporkan.
Bagaimanapun, baki sampel masih menjalani analisis sebelum laporan penuh dikeluarkan.
“Setakat ini, kita tidak mengesan unsur air. Jadi, siasatan lanjut akan memberi tumpuan kepada kehadiran benda asing lain serta formula bekalan pada tempoh tertentu,” katanya.
Secara keseluruhan, sebanyak 262 sampel petrol RON95 diambil di lapan negeri dan tiga depoh syarikat minyak sejak aduan mula diterima pada 3 Oktober lalu.
Selain ujian oleh Jabatan Kimia, Petron dan Caltex turut menghantar sampel ke makmal masing-masing termasuk di luar negara bagi membantu siasatan.
Armizan berkata, dapatan awal menunjukkan isu berkenaan tidak membabitkan keseluruhan rantaian bekalan, sebaliknya dipercayai tertumpu kepada bekalan dalam tempoh tertentu.
Beliau bagaimanapun menegaskan insiden itu tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil kerana aduan tertumpu di beberapa lokasi, khususnya di Kedah dan Pulau Pinang, selain terdapat stesen minyak yang masih ditutup.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, KPDN sedang menjalankan penandaarasan dengan beberapa negara termasuk Singapura, United Kingdom dan Australia untuk memperkukuh standard kualiti serta pemantauan sepanjang rantaian bekalan bahan api.
Dalam pada itu, pemilik kenderaan yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan ditawarkan masih boleh menggunakan saluran undang-undang, termasuk membuat aduan rasmi kepada KPDN, memfailkan saman sivil atau membawa tuntutan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
MCMC uji internet di 16 stesen ECRL, liputan terowong turut dipantau
Anwar: Kestabilan politik yakinkan Google labur RM61 bilion
Daiso labur RM1.2 bilion, bina hab pengedaran terbesar dunia di Malaysia: PMX
NUJ mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
Pasaran hartanah berdepan lambakan 33,094 rumah
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum