Isu pengampunan Najib yang diberikan tahanan rumah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan sebarang keputusan mahkamah berhubung permohonan tahanan rumah bekas perdana menteri, Najib Razak, mengikut lunas undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya menerusi Jabatan Penjara Malaysia telah merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurutnya, kuasa pengampunan terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, manakala KDN dan Jabatan Penjara bertanggungjawab melaksanakan keputusan berkenaan berdasarkan prosedur serta peruntukan undang-undang.
“Semalam apabila pembayaran denda RM50 juta dibuat, kami kemudiannya merujuk kepada Peguam Negara kerana arahan pembebasan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah menunjukkan satu tafsiran yang sedikit berbeza dari sudut undang-undang.
“Apa yang kami lakukan ialah mendapatkan pandangan Peguam Negara supaya terdapat kepastian dari segi pelaksanaannya,” katanya selepas merasmikan Program Semarak Kebudayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), hari ini.
Saifuddin berkata, KDN juga tertakluk kepada nasihat perundangan yang diberikan Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama kerajaan.
Katanya, sekiranya terdapat perbezaan tafsiran antara pandangan undang-undang AGC dengan pihak peguam Najib, mahkamah merupakan saluran terbaik untuk menentukan kedudukan sebenar.
“Seperti yang kita sedia maklum, terdapat satu pandangan undang-undang yang diberikan oleh Peguam Negara, kemudian ada respons balas daripada peguam Najib.
“Jika wujud perbezaan seperti itu, sebagaimana nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik hendaklah dibuat oleh mahkamah,” katanya.
Pada Jumaat, AGC memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Isu itu kembali menjadi perhatian selepas Najib menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada syarat pengampunan.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International sebelum menerima pengurangan hukuman menerusi proses pengampunan diraja.
Pertikaian semasa tertumpu kepada tafsiran dan pelaksanaan perintah tambahan berkaitan tahanan di rumah, sekali gus mencetuskan desakan pelbagai pihak supaya keputusan berkenaan diselesaikan segera mengikut kerangka perlembagaan dan undang-undang.
Jangan abaikan madrasah dalam mengejar kemajuan negara: Anwar
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan