Pua persoal Zahid, ungkit kegagalan GST era Najib

November 23, 2026 · Isu semasa

Bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua mengkritik janji Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih kerajaan.

Pua berkata, BN sepatutnya mengambil iktibar daripada kelemahan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam menguruskan sistem GST, khususnya berkaitan pembayaran balik cukai kepada syarikat.

Beliau mengingatkan isu tunggakan bayaran balik GST yang berlaku ketika pentadbiran Najib sehingga menimbulkan masalah kepada sektor perniagaan.

“Ingat bagaimana Najib gagal menguruskan bayaran balik, kos dan inflasi? Anda memang tidak berfikir panjang jika percaya Zahid akan melakukan lebih baik sebagai perdana menteri dengan GST,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Pua yang pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dari 2018 hingga 2020 turut menyifatkan BN sebagai parti yang memihak kepada golongan korporat, sambil membangkitkan kebimbangan mengenai beban cukai yang akhirnya ditanggung pengguna.

Kenyataan itu menyusul selepas Zahid menyatakan komitmen untuk mengembalikan GST sekiranya BN kembali menerajui kerajaan Persekutuan.

GST merupakan sistem percukaian yang dikenakan pada beberapa peringkat rantaian bekalan, bermula daripada pengeluaran hingga pengedaran. Bagaimanapun, syarikat boleh menuntut semula cukai yang dibayar bagi mengelakkan cukai berganda.

Namun, pelaksanaan sistem itu ketika pentadbiran Najib berdepan kontroversi susulan kelewatan pembayaran balik kepada syarikat.

Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) antara 2018 hingga 2019 mendapati terdapat syarikat terpaksa menunggu sehingga dua tahun untuk menerima bayaran balik GST, sedangkan undang-undang menetapkan pembayaran perlu dibuat dalam tempoh 14 hari.

Najib yang memperkenalkan GST pada 2014 sebelum memansuhkannya pada 2018, pernah menyalahkan masalah aliran tunai kerajaan sebagai punca kelewatan pembayaran tersebut.

Antara isu yang dikenal pasti ialah kutipan GST dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan Persekutuan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan, bukannya disimpan dalam akaun amanah khusus bagi memastikan tuntutan bayaran balik diselesaikan terlebih dahulu.

Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran dan memansuhkan GST pada Jun 2018, tunggakan bayaran balik dilaporkan mencecah RM19.47 bilion, walaupun kesahihan keseluruhan tuntutan berkenaan masih belum dipastikan.

Berita berkaitan
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
November 23, 2026· Politik
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
17 jam lalu· Politik
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
17 jam lalu· Politik
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
17 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
November 23, 2026 · Isu semasa
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
November 23, 2026 · Isu semasa
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
November 23, 2026 · Isu semasa
MINDEF tubuh jawatankuasa khas siasat skandal dadah TUDM
November 23, 2026 · Isu semasa
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
November 22, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok