Malaysia raih kepercayaan antarabangsa, 5 wakil dilantik pengerusi jawatankuasa ITU-PP

November 9, 2026 · Isu semasa

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

Pelantikan wakil Malaysia sebagai pengerusi Jawatankuasa 5 pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan negara memainkan peranan berkecuali dalam mengimbangi kepentingan pelbagai pihak.

Pengerusi jawatankuasa itu, Eneng Faridah Iskandar berkata pelantikan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya satu kejayaan besar negara.

“Saya rasa itu bukan sahaja satu kejayaan (tapi) merupakan kejayaan negara sebenarnya kerana Malaysia ini dilihat sebagai satu negara yang berkecuali dan boleh menerima pandangan kesemua pihak.

“Jadi, tugas sebagai pengerusi ini sebenarnya kita perlu mengimbangi kepentingan dan keinginan semua pihak. Jadi, kita harus berlaku adil,” katanya kepada Bernama dan RTM, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Eneng Faridah yang juga Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas kepercayaan mencalonkan namanya bagi menggalas amanah berkenaan pada persidangan yang berlangsung dari 9 hingga 27 Nov ini.

Beliau berkata jawatan itu membawa amanah besar kerana bukan sahaja mewakili Malaysia, malah perlu mengambil kira kepentingan semua negara anggota yang terlibat dalam perbincangan.

Mengulas peranan Jawatankuasa 5, Eneng Faridah menjelaskan bahawa jawatankuasa substantif itu bertanggungjawab memperhalusi pelbagai isu berkaitan dasar dan perundangan dalam kerangka ITU.

Lebih 95 cadangan merangkumi lebih 40 resolusi telah diterima untuk dibincangkan sepanjang persidangan kali ini.

“Antara cabaran utama adalah bertindak sebagai perantara kepada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan bagi mencapai persetujuan bersama, memandangkan ITU beroperasi berasaskan konsep konsensus,” jelasnya.

Beliau berkata beberapa siri pertemuan awal telah diadakan sebagai persiapan menjelang mesyuarat jawatankuasa, yang dijadual bermula esok bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar.

Sebagai antara jawatankuasa utama dalam ITU PP-26, Jawatankuasa 5 yang dikenali Jawatankuasa Dasar dan Perundangan bertanggungjawab membincangkan cadangan dasar serta peraturan telekomunikasi antarabangsa, selain meneliti resolusi yang dikemukakan negara anggota ITU.

Pengerusinya memainkan peranan penting dalam mengendalikan rundingan, mengimbangi kepentingan serta merapatkan perbezaan pandangan antara negara anggota bagi mencapai konsensus, sebelum hasil perbincangan jawatankuasa berkenaan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan persidangan.

PP-26 yang berlangsung di Doha merupakan persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun bagi menentukan hala tuju, dasar dan pelan strategik organisasi berkenaan.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, dengan misi mempertahankan kerusi dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hal ehwal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), merangkumi penetapan piawaian global, pengagihan spektrum radio dan penyelarasan satelit serta usaha merapatkan jurang digital sejagat. – Bernama

Berita berkaitan
Soalan-Soalan Lazim (FAQ): Apakah itu MySiren?
5 jam lalu· Rencana
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
6 jam lalu· Isu semasa
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
7 jam lalu· Isu semasa
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
November 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Jangan abaikan madrasah dalam mengejar kemajuan negara: Anwar
November 23, 2026 · Isu semasa
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
4 jam lalu · Isu semasa
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
10 jam lalu · Isu semasa
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
10 jam lalu · Isu semasa
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok