Mahkamah sahkan Najib jalani tahanan di Langgak Duta serta-merta

November 10, 2026 · Politik

Bekas perdana menteri, Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan perintah baharu berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadapnya.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Aslam Zainuddin selepas membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang memperincikan pelaksanaan baki hukuman penjara Najib.

Menerusi perintah berkenaan, Najib, 73, perlu menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan menerusi pengampunan bersyarat di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.

“Selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028,” kata hakim.

Perintah baharu itu turut menetapkan pembayaran denda RM50 juta oleh Najib hanya menyelesaikan tanggungan denda, manakala baki hukuman penjara masih perlu dijalani menerusi kaedah tahanan di rumah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menjelaskan perintah pelepasan sebelum ini mengandungi kesilapan teknikal sehingga boleh menimbulkan tanggapan seolah-olah pembayaran denda turut menamatkan baki hukuman penjara Najib.

Beliau menegaskan, perkara itu bercanggah dengan Perintah Pengampunan Bersyarat Yang di-Pertuan Agong bertarikh 18 September 2026 yang menetapkan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Bagaimanapun, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihak pembelaan memahami perintah terdahulu hanya berkaitan pembayaran denda dan tidak membantah draf perintah baharu, selain beberapa pembetulan kecil dari segi penulisan.

Sebelum ini, pelaksanaan tahanan di rumah Najib ditangguhkan sementara pada 6 November lalu selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon penjelasan kehakiman mengenai tafsiran sebenar Perintah Pengampunan Bersyarat.

Isu itu timbul susulan kekhilafan teknikal dalam perintah pelepasan terdahulu yang menimbulkan persoalan mengenai status baki hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Untuk rekod, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sabitan dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 sebelum Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024 mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini sekali gus memperjelaskan pelaksanaan pengampunan bersyarat itu, dengan Najib perlu menghabiskan baki tempoh hukuman sehingga tarikh ditetapkan menerusi tahanan di rumah.

Berita berkaitan
Dokumen sudah dinyahklasifikasi, apa lagi hendak disiasat? – Tony Pua
November 27, 2026· Politik
Isu minit Najib dan penutupan kedai, polis siasat dua pemimpin DAP
November 27, 2026· Politik
SPRM nafi pilih kasih, siasatan projek jalan KKDW masih berjalan
November 27, 2026· Isu semasa
Najib tidak teruskan rayuan saman terhadap bekas Peguam Negara
November 26, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Puad persoal masa depan Bersatu tanpa Muhyiddin dan PAS
7 jam lalu · Politik
DAP cadang PRN Pulau Pinang diadakan serentak dengan PRU
7 jam lalu · Politik
Kemelut politik tak jejas projek pembangunan di Negeri Sembilan: Anwar
November 28, 2026 · Politik
DAP mahu undang-undang baharu ganti Akta Hasutan: Gobind
November 28, 2026 · Politik
Prestasi Loke baik, Anwar mahu Loke kembali bertugas segera
November 28, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] 13 platform e-dagang sepakat banteras jualan barangan terlarang
6 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
November 24, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok