Kes scam.
Jenayah penipuan dalam talian semakin membimbangkan apabila sebanyak 181,750 kes direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2026, membabitkan kerugian keseluruhan RM6.95 bilion.
Lebih membimbangkan, penipuan pelaburan tidak wujud menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian berkenaan dengan nilai RM3.28 bilion, diikuti jenayah telekomunikasi sebanyak RM2.03 bilion.
Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Parlimen, sebanyak 45,683 kes penipuan dalam talian direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, dengan kerugian mencecah RM1.18 bilion.
Statistik menunjukkan kerugian akibat kegiatan itu meningkat setiap tahun, bermula RM1.22 bilion pada 2023 sebelum naik kepada RM1.57 bilion pada 2024 dan melonjak kepada RM2.97 bilion pada 2025.
Dari segi jumlah kes, jenayah telekomunikasi mencatatkan angka tertinggi dengan 69,195 kes, diikuti penipuan e-dagang sebanyak 47,221 kes dan love scam sebanyak 3,540 kes.
KDN dalam jawapan berasingan menjelaskan peningkatan kegiatan penipuan itu berpunca daripada sindiket yang semakin canggih dalam mengeksploitasi teknologi digital, identiti palsu, media sosial serta aplikasi komunikasi.
Sindiket turut menggunakan teknik manipulasi psikologi atau social engineering bagi memperdaya mangsa melalui emosi, kepercayaan dan tawaran keuntungan lumayan.
Dalam usaha meningkatkan peluang mendapatkan semula wang yang lesap, kerajaan menegaskan kepentingan tindakan pantas sebaik sahaja seseorang menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai diminta menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 24 jam pertama bagi membolehkan tindakan mengesan dan menyekat transaksi dilakukan sebelum wang dipindahkan atau dikeluarkan.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, NSRC menerima sebanyak 159,728 panggilan berkaitan penipuan dengan jumlah kerugian dilaporkan RM250.35 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM9.14 juta berjaya disita, manakala RM6.67 juta atau kira-kira 73 peratus daripada wang yang disita berjaya dikembalikan kepada mangsa.
Kerajaan turut memperkukuh kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Luar Negeri, institusi kewangan dan pihak berkuasa negara lain bagi menangani kegiatan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Sebelum ini, penipuan dalam talian dikenal pasti merangkumi pelbagai modus operandi termasuk penyamaran sebagai pegawai kerajaan, penipuan pelaburan, pembelian barangan dalam talian, pinjaman tidak wujud dan hubungan percintaan palsu.
Peningkatan angka kerugian ini menunjukkan jenayah scam bukan lagi ancaman kecil, sebaliknya sudah menjadi masalah serius yang memerlukan kesedaran masyarakat serta tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh.
Pelaburan digital RM812 juta perkukuh kerjasama Malaysia-Perancis
Anwar arah bantuan segera kepada keluarga anggota polis maut
880 calon guru simpanan bakal terima surat lantikan sebelum 14 Disember
13,883 kandungan deepfake dipadam, 61 kes disiasat: Fahmi
Politik identiti perlu bina keyakinan, bukan cetus kebencian: Prof Mohd Afandi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron