WhatsApp mungkin diwajibkan sahkan nombor telefon pengguna: Fahmi

November 15, 2026 · Isu semasa

Kementerian Komunikasi sedang meneliti cadangan mewajibkan platform WhatsApp mengesahkan nombor telefon yang dipautkan kepada akaun pengguna bagi membendung penyalahgunaan aplikasi itu untuk kegiatan penipuan dalam talian atau scam.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, langkah itu dilihat semakin relevan susulan kebimbangan beberapa negara terhadap peningkatan kes penipuan menggunakan WhatsApp, khususnya melalui panggilan telefon.

Menurutnya, isu berkenaan turut dibangkitkan dalam perbincangan di peringkat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) baru-baru ini, apabila beberapa negara menyuarakan keperluan memperketat pengesahan identiti dan nombor telefon pengguna.

“Pihak Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran untuk mengenakan satu syarat kepada pihak WhatsApp, yang mana mereka perlu mengesahkan nombor telefon yang berpaut kepada akaun WhatsApp itu.

“Pada waktu ini, WhatsApp tidak menggunakan syarat pengesahan akaun. Namun, di beberapa negara, isu penyalahgunaan WhatsApp untuk tujuan scam call sudah dibangkitkan,” katanya selepas menghadiri sidang media Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas di Razak Mansion hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan penipuan, termasuk sindiket yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau mengulas penahanan 61 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.

“Semua pelaku ini akan diberkas, ditangkap, ditahan dan disiasat. Mereka yang disahkan telah melanggar undang-undang akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan daripada individu yang mendakwa mewakili MCMC atau Kementerian Komunikasi.

Katanya, MCMC tidak pernah menghubungi orang awam untuk memberi amaran mengenai penutupan talian telefon atau memaklumkan tunggakan bil kerana perkara itu merupakan tanggungjawab syarikat telekomunikasi.

“MCMC tidak akan telefon untuk memberi amaran menutup talian telefon. Rata-rata maklumat yang kita terima, orang mengadu MCMC telefon untuk maklumkan tunggakan bil telefon. MCMC tidak buat kerja itu.

“Kementerian Komunikasi juga tidak sesekali membuat panggilan keluar untuk tujuan penguatkuasaan,” katanya.

Orang ramai yang menerima panggilan mencurigakan dinasihatkan supaya segera menamatkan panggilan berkenaan dan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.

Sementara itu, Fahmi berkata MCMC sedang meneliti beberapa langkah teknikal tambahan di peringkat rangkaian telekomunikasi bagi memperkukuh usaha membanteras penipuan.

Beliau berkata langkah teknikal yang dilaksanakan sebelum ini berjaya mengekang panggilan menggunakan teknik penyamaran nombor telefon atau spoofing calls.

Bagaimanapun, sindiket penipuan kini mula beralih kepada taktik baharu, sekali gus memerlukan pendekatan tambahan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

“Sebelum ini pihak MCMC telah melaksanakan satu perubahan teknikal yang berjaya mengekang spoofing calls. Tetapi pihak scammer beralih kepada cara scam yang berbeza.

“Jadi, kita nampak perlu beberapa tindakan tambahan dan di peringkat rangkaian beberapa perkara sedang diteliti,” katanya.

Berita berkaitan
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
7 jam lalu· Isu semasa
PH bedah keputusan PRN Melaka minggu depan, teliti aspek persediaan jentera
November 15, 2026· Politik
Fahmi: Penantian 10 tahun penduduk Sri Pahang hampir berakhir, bakal miliki rumah baharu
November 14, 2026· Isu semasa
Ancaman siber semakin serius, Malaysia perlu bersedia
November 14, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
2 jam lalu · Isu semasa
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
10 jam lalu · Isu semasa
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
11 jam lalu · Isu semasa
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
11 jam lalu · Isu semasa
PMKS berpeluang tembusi pasaran China menerusi ACFTA 3.0: PMX
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
10 jam lalu
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis
November 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok