Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Sebanyak 13,883 kandungan pemalsuan imej atau deepfake diturunkan oleh penyedia perkhidmatan digital susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 1 Januari 2024 hingga 31 Oktober lalu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, MCMC turut menyiasat 61 kes berkaitan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, 10 kes telah didakwa di mahkamah, dengan enam daripadanya memperoleh keputusan membabitkan jumlah denda keseluruhan RM19,500, manakala empat lagi masih dalam prosiding.
Beliau berkata, tujuh kes turut ditawarkan kompaun berjumlah RM755,000, selain 17 surat amaran dikeluarkan kepada pihak terbabit.
“Baki 27 kes pula merangkumi kes yang masih dalam peringkat siasatan serta yang telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden di Dewan Rakyat, hari ini.
Afnan meminta penjelasan mengenai strategi kerajaan menangani peningkatan kandungan deepfake dan berita sintetik yang dihasilkan menggunakan AI, termasuk penyamaran identiti pemimpin, institusi serta individu bagi tujuan penipuan dan manipulasi maklumat.
Fahmi berkata, kerajaan memandang serius penyalahgunaan teknologi AI, khususnya penghasilan kandungan deepfake, pemalsuan identiti dan penyebaran maklumat palsu.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sekiranya sesuatu kes memenuhi elemen kesalahan yang ditetapkan.
Selain itu, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 566) turut menyediakan mekanisme kawal selia bagi menangani kandungan memudaratkan di internet, termasuk bahan yang dihasilkan menggunakan AI.
Beliau berkata, Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang berkuat kuasa 1 Jun lalu mewajibkan penyedia perkhidmatan berlesen mengenal pasti, menilai dan menangani kandungan memudaratkan.
“Kod ini turut menetapkan supaya kandungan imej, audio atau video yang dijana atau dimanipulasi menggunakan AI dan berkemungkinan disalah anggap sebagai kandungan sebenar dilabel atau ditandakan dengan jelas,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, kerajaan melalui MCMC turut melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi memperkukuh literasi digital, khususnya dalam membantu orang ramai mengenal pasti kandungan deepfake, penyamaran identiti dan maklumat palsu.
Perkembangan teknologi AI yang semakin pesat menjadikan kandungan palsu semakin sukar dibezakan daripada bahan sebenar, sekali gus meningkatkan risiko penipuan, fitnah dan manipulasi persepsi masyarakat.
Justeru, usaha penguatkuasaan dan pendidikan digital dilihat penting bagi memastikan kemajuan teknologi tidak disalahgunakan sehingga mengancam keselamatan pengguna internet.
Pelaburan digital RM812 juta perkukuh kerjasama Malaysia-Perancis
Anwar arah bantuan segera kepada keluarga anggota polis maut
880 calon guru simpanan bakal terima surat lantikan sebelum 14 Disember
Politik identiti perlu bina keyakinan, bukan cetus kebencian: Prof Mohd Afandi
PKR: Jangan kelirukan isu KLSCAH dengan sewa PPR, Akmal dibidas
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron