Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada firma kecerdasan buatan (AI), Anthropic, berhubung dakwaan operasi manipulasi digital menggunakan ribuan akaun palsu bagi mempengaruhi rakyat Malaysia, khususnya pengundi berdaftar.
Kementerian Komunikasi berkata, MCMC sedang berusaha mendapatkan maklumat terperinci daripada syarikat berkenaan susulan pendedahan mengenai operasi yang didakwa dikendalikan pihak asing menggunakan teknologi AI untuk membentuk persepsi pengguna media sosial di negara ini.
Menurut kementerian itu, MCMC akan menyelaraskan siasatan bersama agensi penguat kuasa dan platform AI berkaitan mengikut peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
“Pada masa sama, Kementerian Digital sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI bagi memperkukuh tahap akauntabiliti dalam penggunaan teknologi tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, Selasa.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai status siasatan MCMC, termasuk sama ada pihak yang bertanggungjawab terhadap rangkaian akaun palsu dan portal berita yang didakwa menyebarkan maklumat palsu sudah dikenal pasti.
Pada 10 September lalu, Anthropic menerusi laporan risikan ancamannya mendedahkan tindakan menyekat satu operasi manipulasi pilihan raya di Malaysia yang didakwa menggunakan platform AI Claude.
Operasi berkenaan dipercayai dikendalikan firma berpangkalan di Istanbul, Turkiye, BBS Bilisim Teknolojileri, yang didakwa menyalahgunakan teknologi Claude untuk mempengaruhi pengundi di Malaysia.
Menurut laporan itu, operasi berkenaan membabitkan kira-kira 1,000 akaun palsu di platform X, sebuah saluran YouTube dan portal berita palsu bagi menyebarkan kandungan yang bertujuan mempengaruhi persepsi masyarakat.
Bagaimanapun, BBS Bilisim Teknolojileri menafikan dakwaan terbabit, manakala Anthropic memaklumkan akaun Claude yang dikaitkan dengan operasi itu sudah disekat.
Laporan syarikat berpangkalan di California, Amerika Syarikat itu turut mendedahkan beberapa operasi pengaruh dan penyebaran maklumat palsu yang didakwa berlaku di negara lain termasuk Rusia, China dan Iran antara Disember 2025 hingga Ogos 2026.
Sebelum ini, MCMC memaklumkan pihaknya sedang meneliti pendedahan Anthropic, namun menjelaskan aktiviti manipulasi sedemikian bukan sebahagian daripada mandat utama suruhanjaya itu.
Perkembangan ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keselamatan ruang digital negara, khususnya risiko penggunaan AI untuk menghasilkan kandungan palsu, menyamar sebagai pengguna sebenar dan mempengaruhi pandangan awam.
Keperluan mewujudkan kerangka undang-undang lebih menyeluruh dilihat semakin penting bagi memastikan penggunaan teknologi AI tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan integriti maklumat dan proses demokrasi negara.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
KDN kaji kawalan lebih ketat di pangkalan tentera, polis
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan