Ekonomi Malaysia kekal kukuh, BMI naik unjuran kepada 5.3%

November 19, 2026 · Isu semasa

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih kukuh pada 2026 dan 2027 apabila firma penyelidikan BMI menaikkan unjuran pertumbuhan masing-masing kepada 5.3 peratus dan 4.8 peratus, disokong permintaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pelaburan serta perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan.

BMI, unit Fitch Solutions, sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.1 peratus bagi 2026 dan 4.5 peratus pada 2027.

Semakan menaik itu dibuat susulan prestasi ekonomi negara yang berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, mengatasi unjuran awal BMI sebanyak 5.2 peratus dan konsensus pasaran 5.3 peratus.

Walaupun pertumbuhan itu lebih perlahan berbanding enam peratus pada suku kedua, ekonomi Malaysia masih mencatat perkembangan 5.6 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurut BMI, permintaan global terhadap teknologi AI dijangka terus menjadi pemangkin utama eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia sehingga 2027.

Firma itu menjangkakan pelaburan besar dalam infrastruktur teknologi global akan terus menyokong permintaan terhadap produk semikonduktor dan komponen elektronik keluaran Malaysia.

Berdasarkan unjuran TrendForce, perbelanjaan modal sembilan penyedia perkhidmatan awan terbesar dunia dijangka melebihi AS$957 bilion (RM3.94 trilion) pada 2026 sebelum meningkat 60 peratus kepada AS$1.5 trilion (RM6.17 trilion) pada 2027.

Bagaimanapun, BMI memberi gambaran pertumbuhan eksport E&E mungkin lebih sederhana tahun depan berikutan kebergantungan sektor itu terhadap kitaran pelaburan teknologi global, khususnya perbelanjaan komputer di Amerika Syarikat.

Dari sudut pelaburan domestik, jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia meningkat 20.7 peratus kepada RM350.4 bilion bagi sembilan bulan pertama 2026.

BMI turut menyatakan 13.1 peratus daripada pelaburan yang diluluskan sepanjang 2025 masih belum dilaksanakan, sekali gus menyediakan ruang untuk aktiviti ekonomi berkembang pada tahun depan.

Perbelanjaan pengguna pula dijangka kekal kukuh dengan sokongan pertumbuhan gaji benar sektor perkhidmatan sebanyak 2.8 peratus serta kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 yang dijadualkan berkuat kuasa Jun 2027.

Namun, prospek ekonomi negara masih berdepan beberapa risiko luaran, termasuk ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan Iran yang berpotensi meningkatkan harga minyak, inflasi makanan serta perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan.

Fenomena El NiƱo turut berpotensi menjejaskan pengeluaran komoditi pertanian seperti minyak sawit, beras dan koko.

Selain itu, BMI memberi amaran sekatan teknologi lebih ketat oleh Amerika Syarikat boleh menjejaskan usaha Malaysia menarik pelaburan pusat data, khususnya jika pengendali pusat data menghadapi kesukaran mendapatkan cip AI termaju.

Perkembangan itu berpotensi memperlahankan pelaburan baharu dan menjejaskan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab pusat data serantau.

Secara keseluruhan, unjuran terbaharu BMI mencerminkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi Malaysia, meskipun cabaran perdagangan global, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan sektor teknologi masih perlu diberi perhatian.

Berita berkaitan
Anwar pertahan sokongan kepada Xi meskipun berdepan tekanan
November 20, 2026· Isu semasa
Malaysia teguh pendirian sokong perdagangan terbuka: Anwar
November 19, 2026· Isu semasa
Fahmi: AI ubah landskap pekerjaan, kerajaan perkukuh perlindungan rakyat
November 18, 2026· Isu semasa
Malaysia-AS jalin kerjasama bangunkan awan AI berdaulat
November 18, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
10 jam lalu · Isu semasa
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
10 jam lalu · Isu semasa
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
10 jam lalu · Isu semasa
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
10 jam lalu · Isu semasa
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok