Fahmi saran pengusaha perniagaan kemuka isu kepada kerajaan: Bernama

November 19, 2026 · Isu semasa

Pengusaha perniagaan perlu menyalurkan secara terus sebarang isu yang menjejaskan operasi mereka kepada kerajaan termasuk berkaitan logistik, tenaga kerja dan percukaian bagi membolehkan tindakan sewajarnya segera diambil, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memahami cabaran dihadapi golongan komuniti perniagaan selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segala isu menjejaskan sektor perniagaan ditangani segera.

“Saya bukan sahaja jurucakap kerajaan, saya juga jurudengar kerajaan.

“Justeru, manfaatkanlah peluang ini. Sekiranya anda mempunyai sebarang keperluan atau hasrat yang ingin disampaikan, termasuk perkara yang ingin dikemukakan untuk perhatian kerajaan, anda boleh hubungi saya,” katanya pada Majlis Makan Malam Penghargaan Rakan Niaga Foodpanda malam tadi.

Fahmi berkata beliau sentiasa bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan penggiat industri dan mendengar permasalahan mereka, di samping menegaskan kerajaan mengalu-alukan sebarang maklum balas yang dapat membantu menambah baik ekosistem perniagaan.

Beliau berkata langkah kerajaan menaikkan had ambang pelaksanaan e-invois, seperti diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2027, mampu memberi kelegaan kepada perniagaan tertentu.

“Inisiatif berkenaan mencerminkan kepentingan kerjasama antara sektor awam dengan swasta dalam menyokong perkembangan perniagaan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Mengimbau kerjasama beliau dengan pihak Foodpanda ketika pandemik COVID-19, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata beliau pernah bekerjasama dengan platform berkenaan untuk menghubungkan peniaga makanan tempatan, khususnya di Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam dengan pelanggan.

Fahmi berkata beliau berbesar hati apabila melihat Foodpanda terus berkembang dan menggiatkan usaha menjalin kerjasama dengan peniaga tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia Kenneth Soh berkata syarikat berkenaan mencatatkan pertumbuhan empat peratus dari segi jumlah pelanggan, 19 peratus bagi jumlah pesanan dan 18 peratus dalam jualan standard setakat ini tahun ini.

Beliau berkata Foodpanda akan meneruskan momentum pertumbuhan pada 2027 dengan menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu mempercepat dan meningkatkan kebolehpercayaan penghantaran, menambah baik pengalaman pelanggan bagi menggalakkan pesanan berulang serta menawarkan lebih banyak pilihan produk merangkumi kategori selain makanan.

“Kami adalah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran atas permintaan dan perkhidmatan ini lebih daripada sekadar makanan. Kami turut memberi penekanan kepada penghantaran keperluan harian dan barangan runcit,” katanya.

Soh berkata syarikat itu juga akan memperkukuh keupayaan logistik serta pasukan khidmat pelanggan bagi memastikan pesanan sampai tepat pada masanya kepada pelanggan, di samping mengekalkan mutu makanan serta produk lain.

Beliau berkata Foodpanda juga akan terus menambah baik program langganan Pandapro yang semakin mendapat sambutan, dengan ahlinya mencatatkan purata pesanan dua kali ganda berbanding pelanggan yang tidak melanggan. – Bernama

Berita berkaitan
Bina tabiat digital sihat, jangan biar anak leka gajet: Fahmi
November 20, 2026· Isu semasa
Sistem Amaran Awal Nasional diuji 23 dan 29 November, Fahmi minta orang ramai bersedia
November 19, 2026· Isu semasa
Dakwaan data Malaysia bocor belum disahkan, NACSA pantau ancaman
November 18, 2026· Isu semasa
Fahmi: AI ubah landskap pekerjaan, kerajaan perkukuh perlindungan rakyat
November 18, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
10 jam lalu · Isu semasa
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
10 jam lalu · Isu semasa
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
10 jam lalu · Isu semasa
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
10 jam lalu · Isu semasa
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok