Anwar menghadiri mesyuarat dua hala bersama Xi di Qilin Villa State Guest House.
Anwar Ibrahim menegaskan tidak pernah menyesal memberikan sokongan penuh kepada Presiden China, Xi Jinping, meskipun berdepan pelbagai tekanan, malah komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Perdana Menteri berkata, sokongan itu diberikan atas keyakinannya terhadap kepimpinan Xi, khususnya kemampuan Presiden China itu menghimpunkan kuasa besar dunia serta memainkan peranan dalam usaha memelihara keamanan dan kestabilan global.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam pertemuan dua hala bersama Xi di Rumah Tamu Negara Qilin Villa, hari ini.
“Itu sebabnya saya sama sekali tidak menyesal dengan keputusan memberikan sokongan penuh kepada anda sebagai pemimpin dunia yang hebat dan menjalin hubungan dua hala yang kukuh, meskipun berdepan apa jua tekanan,” katanya.
Anwar turut memuji kebijaksanaan Xi dalam mempertemukan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang disifatkannya sebagai satu pencapaian besar dalam landskap diplomasi antarabangsa.
“Hanya Presiden Xi mampu melakukannya. Saya tidak tahu siapa lagi boleh berbuat demikian. Tahniah, kerana perkara ini amat bermakna,” katanya.
Menurut Anwar, negara membangun seperti Malaysia menghargai kepimpinan yang mempunyai kebijaksanaan dan keberanian untuk menghimpunkan pemimpin kuasa besar dunia bagi mencari ruang ke arah keamanan.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyatakan kekaguman Malaysia terhadap kejayaan China menganjurkan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33, termasuk pembangunan infrastruktur dan pengurusan acara bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, kecekapan penganjuran acara berkenaan, daripada peringkat pengurusan tertinggi hingga petugas hotel, memberikan pengalaman positif kepada delegasi Malaysia.
Malah, Malaysia berharap dapat mempelajari dan mencontohi beberapa pendekatan yang digunakan China untuk meningkatkan keupayaan penganjuran acara berskala besar di negara ini.
Anwar turut mengimbas lawatannya ke Shanghai dan Hangzhou pada September lalu, yang menyaksikan beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang.
Lawatan itu, katanya, membantu memperkukuh hubungan kedua-dua negara dan membuka ruang kepada peluasan kerjasama dalam beberapa bidang strategik.
Malaysia dan China mempunyai hubungan diplomatik sejak 1974, sekali gus menjadikan China antara rakan dagang dan ekonomi terpenting negara ini.
Komitmen terbaharu Anwar itu mencerminkan pendirian Malaysia untuk terus mengamalkan hubungan diplomatik yang seimbang serta memperluas kerjasama dengan kuasa besar dunia dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan