Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat penglibatan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset ketenteraan di Pangkalan Udara Subang.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu akan meneliti kelemahan prosedur pemeriksaan sedia ada selain mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Menurutnya, siasatan dalaman turut memberi tumpuan kepada kemungkinan wujud anggota lain yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya mahu memastikan sama ada kegiatan itu hanya membabitkan individu tertentu atau sudah berlaku secara lebih meluas dalam organisasi ketenteraan.
“Kita akan tubuhkan jawatankuasa sebab kita nak semak sama ada ini kes-kes terpencil ataupun ia sudah menjadi budaya. Itu kita akan semak,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook MINDEF.
Khaled berkata, tindakan segelintir anggota terbabit tidak sepatutnya mencemarkan imej dan integriti keseluruhan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, salah laku individu berkenaan tidak mencerminkan amanah serta komitmen majoriti anggota ATM yang menjalankan tanggungjawab mempertahankan keselamatan negara.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mendedahkan penglibatan pegawai TUDM termasuk juruterbang dalam kegiatan penyeludupan dadah berskala besar, sekali gus menyifatkan perkara itu sebagai amat membimbangkan.
Pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan mengesahkan lima pegawai TUDM antara 11 individu yang ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Penahanan itu turut membabitkan enam orang awam yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah menggunakan aset ketenteraan.
Polis turut merampas 96.64 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Kes berkenaan mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kemudahan dan aset pertahanan negara oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan kegiatan jenayah.
Penubuhan jawatankuasa khas MINDEF dilihat penting bagi memastikan siasatan bukan sahaja mengenal pasti pihak yang terlibat, malah menilai kelemahan sistem kawalan keselamatan dalam ATM supaya integriti institusi pertahanan negara terus terpelihara.
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
Pua persoal Zahid, ungkit kegagalan GST era Najib
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan