AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan

November 26, 2026 · Isu semasa

Nilai rampasan hasil operasi penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) meningkat lebih empat kali ganda kepada RM322.74 juta sehingga Oktober 2026 berbanding RM82.10 juta pada tahun pertama operasinya pada 2025.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan itu direkodkan menerusi 16,357 kes penguatkuasaan di pelbagai pintu masuk negara.

Beliau berkata, Sektor Biosekuriti menyumbang nilai rampasan tertinggi sebanyak RM72.05 juta, diikuti Sektor Kastam dan Percukaian sebanyak RM50.84 juta.

Antara lokasi yang mencatatkan nilai rampasan ketara ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebanyak RM21.37 juta, Pelabuhan Pulau Pinang (RM7.14 juta) dan ICQS Bukit Kayu Hitam (RM3.62 juta).

“Keberkesanan kawalan dan pemeriksaan bersepadu AKPS terbukti menerusi lonjakan prestasi penguatkuasaan yang ketara.

“Pencapaian ini membuktikan penubuhan AKPS bukan sekadar penstrukturan semula pentadbiran, malah reformasi institusi berimpak tinggi dalam memperkukuh keselamatan sempadan, memudah cara perdagangan serta pelancongan dan melindungi hasil negara,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai keberkesanan operasi dan pencapaian AKPS.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin mendedahkan seramai 27 pegawai AKPS dikenakan tindakan tegas sehingga November 2026 susulan pelanggaran integriti membabitkan sindiket ‘counter setting’ dan ‘flying passport’.

Daripada jumlah itu, 19 pegawai dibuang kerja manakala lapan lagi ditahan kerja susulan pertuduhan di mahkamah.

Menurutnya, AKPS turut memperkukuh kawalan keselamatan menerusi Operasi Task Force Saringan 100 Peratus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 Ogos hingga 13 November lalu.

Operasi bersama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan PERHILITAN itu memeriksa 4,569 penerbangan, 21,526 kru penerbangan serta lebih 711,000 bagasi daftar masuk.

Hasil operasi berkenaan, sebanyak 16 barangan larangan dikesan selain 16 kes penyeludupan dadah ditumpaskan dengan rampasan bernilai RM34.89 juta seberat 436.66 kilogram.

Untuk rekod, AKPS ditubuhkan susulan keputusan Jemaah Menteri pada 3 Januari 2024 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2025 menerusi projek rintis di ICQS Rantau Panjang.

Agensi itu kini mengawal 123 pintu masuk aktif meliputi laluan darat, udara dan laut dengan menyatukan fungsi pemeriksaan serta penguatkuasaan enam agensi teras di bawah satu rantaian perintah.

Langkah itu bertujuan menghapuskan pertindihan tugas dan budaya kerja secara silo, selain meningkatkan kecekapan pemeriksaan serta membanteras kegiatan penyeludupan dan kemasukan barangan terlarang.

Berita berkaitan
192,869 kes scam, lebih RM7 bilion wang rakyat lesap
21 jam lalu· Isu semasa
Mahkamah larang pihak terlibat ulas kes Shuhaily
21 jam lalu· Isu semasa
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
November 22, 2026· Politik
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
November 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
November 26, 2026 · Isu semasa
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
November 26, 2026 · Isu semasa
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
16 jam lalu · Isu semasa
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
16 jam lalu · Isu semasa
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
November 24, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok