Kes scam.
Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di Malaysia mencecah RM7.33 bilion membabitkan 192,869 kes yang direkodkan sejak 2023 hingga Oktober 2026.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 75,266 individu ditahan dalam tempoh berkenaan, manakala 69,665 pertuduhan telah dilakukan.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian RM1.56 bilion.
Dalam tempoh sama, seramai 20,842 individu ditahan, manakala 17,985 kertas siasatan membawa kepada pertuduhan membabitkan 18,369 individu.
“Data ini menunjukkan trend jenayah penipuan dalam talian semakin meningkat,” katanya ketika menjawab soalan Ganabatirau A/L Veraman (PH-Klang) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin berkata, penggunaan akaun keldai menjadi antara faktor utama membolehkan sindiket penipuan menjalankan kegiatan mereka dengan memindahkan wang hasil jenayah melalui akaun pihak ketiga.
Bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, sebanyak 254,546 akaun keldai dikesan, manakala 137,699 akaun telah didakwa.
Beliau turut mendedahkan enam kategori utama penipuan dalam talian yang dikenal pasti, iaitu jenayah telekomunikasi, e-kewangan, penipuan cinta, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
Dari segi profil mangsa, wanita mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding lelaki dengan nisbah enam daripada setiap 10 mangsa, manakala empat lagi lelaki.
Kebanyakan mangsa pula bekerja dalam sektor swasta, sementara kesalahan membenarkan akaun bank digunakan sebagai akaun keldai banyak membabitkan golongan pelajar.
“Sindiket tidak dapat beroperasi sekiranya tidak mempunyai akaun keldai,” katanya.
Mengulas usaha meningkatkan kesedaran awam, Saifuddin berkata, penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan talian 997 membantu mempercepat tindakan mangsa melaporkan kejadian penipuan.
Menurutnya, sebelum NSRC diperkenalkan, pihaknya menerima sekitar 300 hingga 400 panggilan sehari, namun jumlah itu meningkat sehingga 30,000 panggilan pada Oktober lalu.
Ini bersamaan purata kira-kira 1,000 panggilan sehari, sekali gus menunjukkan semakin ramai mangsa tampil mendapatkan bantuan selepas menyedari ditipu.
Dalam usaha membanteras kegiatan itu, kerajaan turut memperkukuh kerjasama antarabangsa menerusi Interpol dan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).
Malaysia juga bekerjasama dengan negara ASEAN melalui Program Kerjasama ASEAN bagi Menangani Jenayah Siber yang membolehkan perkongsian maklumat risikan dan pelaksanaan operasi bersama.
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
Mahkamah larang pihak terlibat ulas kes Shuhaily
Dua lelaki gagal cabar keputusan kerajaan mansuh subsidi diesel
MCMC perkukuh pertahanan siber, jalin kerjasama dengan NACSA
MCMC saman Google RM600 juta isu kandungan berbahaya di YouTube
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib