Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya mengamalkan siasatan dua darjat dalam mengendalikan kes rasuah, termasuk isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang membabitkan sebuah kementerian.
SPRM dalam kenyataan hari ini menegaskan dakwaan itu tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan suruhanjaya berkenaan.
Menurut SPRM, siasatan berhubung isu perbelanjaan projek JALB dimulakan pada 7 Oktober lalu dan sehingga kini seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian serta agensi berkaitan telah dirakam percakapan.
“ Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut menegaskan setiap siasatan dijalankan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang tanpa mengambil kira kedudukan, pangkat atau latar belakang individu yang terbabit.
“Setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu,” katanya.
Pada masa sama, SPRM menghormati hak semua pihak untuk mengemukakan pandangan, kritikan dan teguran, namun mengingatkan setiap dakwaan perlu berlandaskan fakta sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab.
Suruhanjaya itu turut memberi jaminan akan terus menjalankan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang dipelihara.
Kenyataan itu dipercayai sebagai respons terhadap dakwaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang dilaporkan media semalam, mendakwa SPRM mengamalkan pendekatan dua darjat dalam menyiasat beberapa isu berprofil tinggi.
Antara isu dibangkitkan ialah kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta dakwaan perbelanjaan berlebihan berjumlah RM2.1 bilion membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Isu berkenaan mencetuskan perhatian apabila timbul persoalan mengenai konsistensi tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes yang membabitkan kepentingan awam dan institusi berbeza.
SPRM bagaimanapun menegaskan komitmennya untuk memastikan semua pihak tertakluk kepada proses undang-undang yang sama tanpa sebarang pengecualian.
Bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail meninggal dunia
367,537 kandungan scam, akaun palsu dan deepfake dipadam
Ancaman siber jadi fokus Dasar Keselamatan Negara baharu: PMX
NEXSEC2026 himpun 1,500 peserta, perkasa bakat keselamatan siber
Malaysia terus runding AS, mahu kekalkan tarif maksimum 19%: Johari
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib