Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Kementerian Komunikasi Malaysia menyambut titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung keperluan mencari langkah proaktif bagi membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan rasa hormat dan syukur atas kesempatan menghadap Baginda di Istana Negara serta mendengar pandangan mengenai kepentingan memerangi gejala buli yang kian membimbangkan.
“Patik juga menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung keperluan membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.
“Titah Baginda memberi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan,” kata Fahmi dalam kenyataan hari ini.
Kebimbangan ini selaras dengan kes-kes buli terkini yang mengejutkan negara, termasuk kematian pelajar sekolah seperti Zara Qairina Mahathir di Sabah dan Faris Wan Ahmad Faris di Kelantan, yang didakwa berpunca daripada penderaan fizikal dan psikologi.
Bagi menjunjung titah Baginda, Kementerian Komunikasi akan melaksanakan beberapa inisiatif utama, antaranya mengadakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli serta kerjasama rentas kementerian dan meluaskan program masyarakat untuk menggalakkan budaya hormat, disiplin, dan kasih sayang.
Titah Baginda turut selari dengan komitmen Kerajaan Madani melalui pindaan terkini Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang memperketat hukuman terhadap kes buli dan penderaan.
Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan untuk memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami oleh kanak-kanak dan remaja, sesuai dengan hasrat Baginda agar generasi muda memahami nilai murni sejak kecil.
Fahmi juga menyeru semua lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, komuniti, dan media, untuk bersama-sama memerangi gejala buli.
“Hanya melalui kerjasama menyeluruh kita dapat melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin, dan penyayang,” tegas beliau.
Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kerajaan berharap dapat mengurangkan kes buli dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat serta harmonis untuk semua rakyat Malaysia.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar