Anwar tegaskan RUU PSB bukan strategi untuk rampas rumah Melayu

August 28, 2025 · Isu semasa

Anwar Ibrahim dengan tegas menolak tuduhan pihak pembangkang yang mendakwa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) adalah strategi untuk menyingkirkan orang Melayu dari kediaman mereka.

Perdana Menteri menafikan menjadi boneka yang akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan dirinya untuk menggantikan penduduk Melayu dengan kaum Cina, sebaliknya menjelaskan tujuan utama RUU PSB 2025 adalah untuk memajukan taraf hidup masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan perumahan usang di bandar.

“Jangan kita buat andaian ini strategi Cina untuk rampas rumah Melayu. Saya tidak setuju dengan tanggapan sebegitu.

“Saya bukan boneka. Saya duduk di sini dan saya mesti pertahankan hak asasi orang Melayu yang merupakan majoriti,” tegas Anwar semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Anwar menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut), yang menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU PSB yang dijadualkan pada hari ini.

Pemimpin pembangkang berhujah rang undang-undang itu akan mencetuskan proses gentrifikasi dan meminggirkan komuniti berpendapatan rendah, khususnya masyarakat Melayu dan India.

Anwar seterusnya menjelaskan pentadbirannya berhasrat menggunakan RUU ini untuk membantu orang Melayu bandar yang hidup dalam keadaan perumahan yang daif dan tidak selamat.

Beliau mengakui mungkin terdapat beberapa kelemahan dalam rang undang-undang tersebut, namun itu bukanlah alasan untuk membantahnya sepenuhnya tanpa cadangan membina.

Menurut Anwar, pihak yang tidak bersetuju seharusnya mengemukakan syor penambahbaikan yang spesifik dan praktikal, bukannya membuat dakwaan liar kononnya kerajaan mahu merampas rumah penduduk.

“Soal nilai ambang yang menjadi pertikaian boleh dibincangkan semasa perbahasan. Saya ingin kongsi pengalaman peribadi, seperti melihat keadaan rumah di Sri Perlis, Kuala Lumpur, yang hanya mempunyai satu bilik dan sangat daif.

“Jika ada cadangan lain untuk menambah baik RUU ini, kemukakan. Jangan hanya menuduh kita mahu merampas. Rampas apa? Saya pergi tengok rumah satu bilik didiami dua keluarga, salah satunya ada enam anak. Tanggungjawab kita adalah mencari kaedah untuk membangunkan semula rumah itu dengan menyediakan minimum tiga bilik untuk satu keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata tempoh ambang kelulusan untuk pembangunan semula boleh dirunding dan memerlukan persetujuan majoriti pemilik.

“Ada yang kata nilai ambang 30 tahun. Tapi mesti dirunding, kerajaan tidak boleh ‘bulldoze’. Kalau betul rumah itu berusia 40 tahun, 80 peratus pemilik mesti setuju dengan syarat-syarat yang ketat.

“Dan kita tetapkan bahawa 20 peratus yang tidak setuju itu jangan diabaikan. Jika mereka ada hak, ada geran, mereka mesti diberi pampasan yang mencukupi,” jelasnya.

Berdasarkan cadangan RUU PSB, bangunan yang berusia di bawah 30 tahun memerlukan kelulusan 80 peratus pemilik sebelum boleh dibangunkan semula, manakala bagi premis yang lebih lama, hanya persetujuan sekurang-kurangnya 75 peratus pemilik diperlukan.

Lagi Isu semasa terkini
Sasar 5,010 peserta sertai latihan AI di NADI seluruh negara: Fahmi
3 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan perkasa bantuan guaman syarie dengan peruntukan baharu RM1.5 juta: PMX
6 jam lalu · Isu semasa
Portal rasmi KKM diserang penggodam
9 jam lalu · Isu semasa
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
June 26, 2026 · Isu semasa
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
June 26, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok