Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyeru semua ahli parti supaya memberikan kepercayaan dan ruang sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti bagi menyiasat isu dalaman yang timbul baru-baru ini.
Gesaan itu dibuat susulan kritikan terbuka dibuat oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mengenai satu siasatan forensik terhadap sebuah video lama yang didakwa membabitkan Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali.
Muhyiddin menegaskan Lembaga Disiplin telah diberikan mandat penuh untuk menjalankan siasatan secara adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti.
Beliau mengakui terdapat keresahan dalam kalangan ahli, tetapi menekankan kepentingan untuk kekal tenang dan berdisiplin.
“Saya amat memahami keresahan dan kegusaran yang sedang dirasai oleh ahli-ahli BERSATU berhubung dengan cabaran yang sedang kita hadapi,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook.
“Dalam suasana seperti ini, perkara paling penting ialah kita kekal bertenang, berdisiplin dan yakin bahawa segala isu akan diuruskan melalui saluran parti yang sah,” tambahnya.
Beliau memberi amaran sebarang tindakan di luar saluran yang ditetapkan hanya akan melemahkan parti dan menguntungkan pihak lawan.
“Justeru, saya meminta semua ahli memberi ruang dan kepercayaan kepada proses ini berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan,” katanya lagi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menyeru seluruh ahli agar terus bersatu dan tidak terpesong daripada matlamat utama.
“Kita berada dalam perjuangan yang jauh lebih besar iaitu memperkukuhkan Bersatu, memperkukuhkan PN dan membela kepentingan rakyat. Jangan sesekali kita biarkan cabaran dalaman mengalih perhatian kita daripada matlamat ini,” tegasnya.
Beliau yakin dengan kesabaran dan disiplin yang tinggi, Bersatu akan mengharungi cabaran ini dengan lebih utuh dan bersatu.
Isu ini tercetus selepas Wan Saiful mendakwa Azmin tidak layak memimpin selagi kontroversi video yang didakwa tular pada 2019 itu tidak diselesaikan.
BN kekal solo, tak layan kerjasama dengan PAS atau Wawasan: Zahid
172 calon rebut 56 kerusi DUN Johor, saingan lima penjuru di tiga kerusi: SPR
Maszlee tawar agenda baharu demi Johor, kerajaan negeri seiring dengan persekutuan
Kempen PRN dipantau 24 jam, orang ramai diminta bantu bendung berita palsu: Fahmi
Calon ‘underdog’ PH lawan Onn Hafiz sedia beri saingan sengit di DUN Machap
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar