Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
PAS mengesahkan jentera parti itu hanya akan memberi tumpuan kepada kempen calon-calonnya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tanpa membantu kempen calon Bersatu walaupun kedua-duanya masih menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata seluruh jentera parti akan digerakkan bagi memastikan kemenangan calon PAS di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada pilihan raya 11 Julai depan.
Beliau menegaskan keputusan itu dibuat kerana PAS mahu memberi sepenuh perhatian kepada kekuatan jenteranya sendiri.
“Tak, tak, tak. Orang PAS bekerja untuk kita. Yang Bersatu, kita tidak tahu strategi mereka,” katanya selepas kuliah duha di Masjid Rusila, pada Jumaat.
Abdul Hadi turut mendedahkan penggunaan logo PN oleh PAS pada PRN Johor kali ini dibuat atas beberapa faktor termasuk desakan pihak tertentu, meskipun hubungan kerjasama dengan Bersatu sebelum ini dilihat semakin renggang.
“Mereka desak hendak guna logo itu juga dan kita tidak pecah lagi. Kita tetap dengan PAS,” katanya.
Beliau berkata, isu hubungan dengan Bersatu dianggap telah selesai selepas PAS membuat keputusan sebelum ini untuk membatalkan kerjasama politik dengan parti berkenaan.
Mengulas sasaran PAS dalam PRN Johor, Abdul Hadi berkata parti itu optimis mampu memenangi kesemua 11 kerusi yang ditandingi kerana pemilihan kawasan dibuat berdasarkan kajian dan keyakinan terhadap peluang kemenangan.
“Kita bertanding 11 kerusi dan sasaran kita menang 11. Kita pilih kerusi yang ada keyakinan untuk menang. Insya-Allah,” katanya.
Menurut beliau, PAS juga mahu muncul sebagai blok pembangkang yang kuat di Johor bagi memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Pada masa sama, Abdul Hadi menegaskan beliau mahu Johor terus diterajui kepimpinan Melayu Islam dan tidak dikuasai oleh ideologi yang menurutnya bertentangan dengan perjuangan parti itu.
“Apa yang penting, kita mahu negeri Johor diperintah oleh orang Melayu Islam. Saya tidak mahu dikuasai oleh puak-puak liberal atau bukan Islam. Biar orang Islam yang memerintah Johor,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan PAS hanya bertanding di 11 kerusi DUN pada PRN Johor kali ini, berbanding 15 kerusi pada pilihan raya negeri sebelum ini.
SPR keluar peringatan menjelang penamaan calon PRN Johor
Sokongan terhadap Anwar kekal tertinggi: Tinjauan Merdeka Center
Annuar sahkan rundingan PAS-UMNO, kerjasama gagal dimeterai untuk PRN Johor: Laporan
Selepas Puad keluar UMNO, bekas ADUN Layang-Layang pula umum sertai Bersatu
Puad pertahan cadang anak jadi calon, dakwa pemilihan tidak adil
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar