Presiden Parti Warisan, Mohd Shafie Apdal.
Parti Warisan akan bergerak secara bersendirian dan tidak akan membentuk kerjasama dengan mana-mana parti lain bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 nanti.
Presidennya, Mohd Shafie Apdal, menegaskan keyakinan parti itu untuk memenangi kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan sendiri tanpa perlu bergantung pada mana-mana pihak dan menjadi faktor mereka memilih untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara solo.
“Kita bekerjasama dengan rakyat, bukan dengan parti lain. Dahulu pun Parti BERJAYA pernah bertanding solo dan menang untuk membentuk kerajaan yang memerintah selama 10 tahun,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat Warisan hari ini.
Beliau turut memberikan contoh kejayaan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan PAS di Kelantan yang berjaya memerintah melalui pendekatan yang sama.
“Jadi, kita yakin, tiada ragu-ragu sebab kita lihat rakyat Sabah kini bangkit kerana mereka mahukan perubahan,” tegas Shafie sambil menekankan sasaran parti untuk mencapai majoriti dua pertiga.
Mengenai kemungkinan kerjasama sekiranya tidak memperoleh majoriti mudah, beliau enggan memberi ulasan dan hanya berharap agar Warisan diberi mandat yang kukuh oleh pengundi.
Ahli Parlimen Semporna itu turut mengimbau pengalaman memerintah bersama parti lain dari 2018 hingga 2020, yang beliau katakan penuh dengan cabaran.
“Dulu kita juga bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu, tapi mereka bergantung kepada pemimpin parti di Semenanjung, sedangkan sepatutnya kita kena dengar suara rakyat. Jadi, kita tidak mahu perkara seperti itu daripada berlaku,” jelasnya.
Menurutnya, sebarang bentuk kerjasama politik sama ada sebelum atau selepas pilihan raya sering membawa masalah, termasuk dalam hal agihan kerusi dan pembentukan Kabinet.
Sementara itu, mengenai calon, Shafie yang dijangka mempertahankan kerusi DUN Senallang, mendedahkan senarai calon di semua kerusi sudah disediakan, namun pengumuman hanya akan dibuat hampir dengan hari penamaan calon.
“Kita tidak mahu mendedahkan senarai calon terlalu awal kerana bimbang ada yang cuba mempengaruhi mereka untuk menyertai parti lain,” ujarnya.
Pada PRN-16 lalu, Warisan hanya memenangi 23 kerusi melalui kerjasama dengan PH Sabah.
Tiada perubahan kepimpinan Negeri Sembilan, Aminuddin kekal MB: PMX
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan