Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Malaysia mengulangi komitmen untuk menyokong usaha Palestin dalam membina semula rangkaian komunikasi di Gaza yang musnah akibat konflik.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata sokongan ini meliputi aspek teknikal dan kemanusiaan dan perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Palestin, Huda Al-Wahidi semasa sidang Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan.
Fahmi berkata, beliau akan membawa beberapa cadangan praktikal ke Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut.
“Saya akan bawa beberapa dapatan ke Jemaah Menteri, berbincang dengan Perdana Menteri dan Wisma Putra supaya sokongan yang kita berikan bukan hanya dari segi teknikal,” katanya.
Beliau turut menyambut baik hasrat Palestin untuk membawa usul khas kepada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi mentakrifkan semula konsep kesalinghubungan sebagai hak asasi kemanusiaan.
“Mereka merasakan ada keperluan untuk mentakrifkan kesalinghubungan sebagai satu aspek kemanusiaan yang tidak seharusnya dijadikan sasaran oleh mana-mana pihak dalam konflik peperangan,” jelas Fahmi.
Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang, kerajaan Malaysia juga berhasrat untuk menawarkan biasiswa kepada lima warganegara Palestin.
Biasiswa dalam bidang kejuruteraan rangkaian dan radio ini bertujuan membantu mereka memulihkan infrastruktur komunikasi di Gaza.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Teknologi Digital Afrika Selatan, Mondli Gungubele.
Mereka membincangkan potensi kerjasama dalam sektor telekomunikasi, dengan Malaysia bersedia untuk berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan rangkaian 5G dan penetapan harga internet yang berpatutan.
Pertemuan itu sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia yang kukuh dalam mendukung perjuangan rakyat Palestin, sambil meneroka kerjasama strategik dengan negara-negara lain seperti Afrika Selatan.
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
Kes cabul anak pegawai kanan polis: Arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah
Anwar doakan Ustaz Wadi Annuar segera pulih selepas terlibat kemalangan
Belanjawan 2027: STR, SARA RM16 bilion kekalkan kuasa beli rakyat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum