Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan perbuatan buli siber tidak boleh dinormalisasikan, sebaliknya pengguna media sosial perlu mengamalkan kebebasan bersuara secara beradab dan bertanggungjawab.
Pendirian itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang mengingatkan setiap kebebasan perlu disertai tanggungjawab, khususnya ketika menggunakan media sosial.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melakukan gangguan, ugutan, penghinaan, serangan peribadi atau menyebarkan maklumat peribadi yang boleh mengancam keselamatan serta maruah seseorang.
“Perbezaan pandangan tidak harus dijadikan alasan untuk melakukan sebarang bentuk buli siber. Perbuatan sedemikian tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat yang menghormati hak bersuara dan nilai saling menghormati,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, kebebasan bersuara dan hak mengkritik perlu digunakan secara berhemah tanpa menjadikan ruang digital sebagai medan untuk menyerang atau mengaibkan individu lain.
Suruhanjaya itu turut memberi perhatian terhadap kebimbangan Yang di-Pertuan Agong mengenai penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu serta penyebaran maklumat tidak sahih yang berpotensi mencetuskan fitnah dan kebencian.
Sehubungan itu, MCMC akan terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat menerusi kerjasama dengan penyedia platform, agensi berkaitan dan masyarakat.
Sebarang kandungan yang disyaki melanggar undang-undang akan diteliti sebelum tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
MCMC turut menyeru orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi, menghormati perbezaan pendapat dan menjaga adab ketika berinteraksi di media sosial.
Dalam perkembangan dunia digital yang semakin pesat, penggunaan teknologi AI juga menuntut pengguna lebih berhati-hati terhadap kandungan yang dimanipulasi, termasuk bahan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan reputasi seseorang.
MCMC menegaskan usaha membendung buli siber bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan, malah memerlukan kesedaran dan tanggungjawab setiap pengguna bagi memastikan media sosial kekal sebagai ruang komunikasi yang selamat dan saling menghormati.
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
Tiada syarikat malaysia terbabit pembakaran hutan Indonesia: Fahmi
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum