Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Ke arah langkah penting mengukuhkan hubungan dua hala, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memacu kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Afrika Selatan, termasuk dalam industri semikonduktor yang strategik.
Pertemuan beliau dengan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa hari ini di Johannesburg membuka ruang kepada beberapa inisiatif baharu.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memuktamadkan dan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi kerjasama dalam bidang ekonomi, industri halal, pertanian, tenaga hijau, penyelidikan, dan pendidikan.
“Saya turut menawarkan ruang dan insentif di MY Integrated Circuit (IC) Design Park kepada syarikat dari Afrika Selatan untuk menyertai rantaian nilai semikonduktor Malaysia,” ujar Anwar dalam kenyataan media selepas mengadakan kunjungan hormat tersebut.
Tawaran itu diharap dapat menarik minat pelaburan serta perkongsian kepakaran dalam sektor berteknologi tinggi.
Selain teknologi, kerjasama dalam bidang pertahanan, perdagangan termasuk eksport daging lembu, serta sains dan inovasi turut dipergiat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengucapkan tahniah kepada Afrika Selatan sebagai negara Afrika pertama yang memegang jawatan Presiden Kumpulan 20 (G20).
Beliau turut membincangkan kemajuan hubungan dua hala susulan lawatan rasmi Presiden Ramaphosa ke Putrajaya pada Oktober lalu.
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa tema G20 “Solidarity, Equality, Sustainability” selari dengan fokus Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Ini merangkumi usaha memperkukuh daya tahan bencana, kestabilan hutang, serta pendanaan peralihan tenaga yang adil dan mampan,” jelasnya.
Lawatan kerja Anwar selama empat hari ini adalah atas jemputan Presiden Ramaphosa untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Beliau diiringi oleh beberapa menteri serta delegasi perniagaan, menandakan keseriusan Malaysia dalam mengukuhkan kerjasama dengan rakan ekonomi utama di benua Afrika itu.
Portal rasmi KKM diserang penggodam
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
226 pegawai SPRM dikenakan tindakan tatatertib sejak 2021
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar