Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Foto kredit: PMO
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta semua pihak bersabar berhubung desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Beliau memberi jaminan PRU-16 akan diadakan sebelum Februari 2028, selaras dengan tempoh penggal pentadbiran kerajaan ketika ini.
“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah… ia juga sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun selepas. Ia tidak ada lebih daripada itu,” katanya ketika menjawab persoalan mengenai pembubaran Parlimen dalam program Dialog Negara Khas Bersama Perdana Menteri yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Kebelakangan ini, beberapa pihak mendesak kerajaan supaya mempercepatkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan mandat baharu diperoleh menerusi PRU-16.
Mengulas kemungkinan meneruskan kepimpinan negara selepas pilihan raya akan datang, Anwar berkata beliau bersedia sekiranya kembali diberikan kepercayaan oleh rakyat.
Bagaimanapun, katanya, pembentukan kerajaan selepas PRU-16 bergantung kepada keputusan dan sokongan pengundi terhadap parti-parti politik yang bertanding.
“Saya tentulah hendak teruskan dan dengan pengalaman serta kekuatan yang ada, dapat mengangkat martabat Malaysia. Saya pencinta negara dan yakin dengan keupayaan negara,” katanya.
Dalam program sama, Anwar turut menyentuh isu integriti dan usaha membanteras rasuah yang disifatkannya sudah berakar umbi dalam sistem pentadbiran negara.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam tindakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan rasuah, termasuk mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan kerajaan.
“Rasuah bagi saya dalam negara ini sudah sistemik. Saya warisi keadaan yang sistemik. Oleh itu kita mesti terus tegas, terus jalan walaupun popular atau tidak, itu soal kedua,” katanya.
Beliau turut menjadikan pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai contoh pendirian kerajaan untuk tidak campur tangan dalam proses undang-undang.
Anwar berkata usaha memperbaiki tadbir urus, membanteras rasuah dan mengurangkan ketirisan telah membantu kerajaan menjimatkan puluhan bilion ringgit yang boleh disalurkan kepada kebajikan rakyat.
Antara langkah yang dirancang ialah menamatkan sistem pengambilan doktor kontrak mulai 1 Januari 2027.
Dalam masa sama, beliau menolak cadangan menaikkan caj rawatan di fasiliti kesihatan awam kerana tidak mahu menambah beban rakyat ketika pertumbuhan gaji masih belum seimbang dengan perkembangan ekonomi dan kos sara hidup.
Kerajaan turut memberi perhatian terhadap cabaran dihadapi usahawan tempatan susulan lambakan barangan murah menerusi platform e-dagang antarabangsa.
Menurut Anwar, peraturan lebih ketat sedang dipertimbangkan bagi memastikan produk yang memasuki pasaran tempatan memenuhi piawaian kualiti, keselamatan dan halal tanpa menjejaskan perdagangan.
“Kita tidak bertujuan untuk menyekat tetapi yang kita mahu ialah pelaburan dan perdagangan, bukan lambakan barang yang murah dan ini membunuh beberapa syarikat kecil di lapangan,” katanya.
Beliau turut mahu kejayaan syarikat tempatan seperti Farm Fresh dijadikan contoh dalam membangunkan industri makanan negara, khususnya ketika sektor pertanian, penternakan dan perikanan berdepan peningkatan kos serta ketidaktentuan geopolitik global.
Rafizi diminta dedah sumber dana kempen parti Kancil
Azmin sahkan Bersatu tidak masuk gelanggang PRN Sarawak
GPS umum 82 calon, 11 muka baharu pada PRN Sarawak
PRN Sarawak: 7,500 anggota polis siap siaga
PKR tidak bertanding PRN Sarawak, hormati kerjasama dengan GPS
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib