Malaysia beri penerangan kepada China mengenai perjanjian ART dengan AS: Laporan

December 1, 2025 · Isu semasa

Malaysia telah menghantar satu delegasi ke China untuk memberi penerangan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, delegasi negara bertemu dengan pihak Kementerian Perdagangan China minggu lepas apabila negara itu menyatakan kebimbangan mengenai implikasi geopolitik ART, memandangkan Malaysia dan China merupakan rakan dagang strategik.

“Mereka menyatakan mereka perlu merekodkan perkara ini kerana (ini adalah) isu geopolitik. Mereka mahu memastikan apa-apa yang dipersetujui tidak membebankan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata, perbincangan itu juga membawa kepada usaha China untuk merapatkan lagi kerjasama perdagangan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) baharu, walaupun kedua-dua negara sudah mempunyai kerangka sedia ada seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China.

Mengulas lanjut mengenai langkah Malaysia menandatangani ART lebih awal berbanding beberapa negara ASEAN lain, beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana struktur eksport Malaysia yang amat terdedah kepada tarif AS.

“Pagi tadi pun saya ada perbincangan dengan USTR (Wakil Perdagangan AS). Mereka mengatakan kita akan mendapat layanan terutama dalam sektor E&E (elektrik dan elektronik) dan semikonduktor kerana kita merupakan rakan strategik dalam sektor ini,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak berunding dengan AS mengenai ART dalam suasana yang selesa.

Jelasnya, rundingan di bawah bayangan tarif baharu sebanyak 25 peratus bagi hampir keseluruhan eksport ke AS dan tanpa ART boleh mengakibatkan pertumbuhan KDNK Malaysia susut sekitar 1.2 mata peratus setahun iaitu hampir RM30 bilion setahun.

“Saya lebih rela dikritik kerana bergerak cepat untuk menyelamatkan kilang dan pekerjaan rakyat daripada dipuji kerana berani melawan membiarkan tarif 25 peratus jatuh tanpa sebarang payung,” katanya.

Tengku Zafrul turut menepis dakwaan bahawa ART menjejaskan kedudukan hak bumiputera.

Beliau berkata, Artikel 7.1 dalam Perjanjian ART mengiktiraf hak dan obligasi Malaysia di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk melindungi keselamatan negara serta mengambil langkah perdagangan yang perlu.

Katanya, perjanjian itu juga boleh ditamatkan dengan notis bertulis selepas 180 hari, seperti diperuntukkan dalam Artikel 7.5. – Bernama

Berita berkaitan
Perdagangan Malaysia cecah RM436.61 bilion, rekod tertinggi dalam sejarah
November 20, 2026· Isu semasa
Malaysia-AS jalin kerjasama bangunkan awan AI berdaulat
November 18, 2026· Isu semasa
APEC 2026: Anwar tekankan perdagangan terbuka, kesalinghubungan
November 18, 2026· Isu semasa
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
November 16, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
1 jam lalu · Isu semasa
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
1 jam lalu · Isu semasa
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
2 jam lalu · Isu semasa
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
17 jam lalu · Isu semasa
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
November 24, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok