Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin.
Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin, dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan berkaitan rasuah berjumlah RM400,000 untuk mendapatkan projek ladang ternakan lembu.
Azman, 53, didakwa bersubahat dengan ahli perniagaan Mohd Hassanaim Fauzi untuk menerima wang suap tersebut.
Rasuah itu didakwa diberikan kepada ahli perniagaan lain, Amar Assuat Abu Bakar, 41.
Menurut kertas pertuduhan, kesalahan itu berlaku pada 23 Jun 2020, ketika Azman masih memegang portfolio exco pertanian di Kedah dan dituduh mengarahkan Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) mengeluarkan surat tawaran kepada Mohd Hassanaim yang kemudiannya membayar rasuah itu.
“Saya tidak bersalah,” kata Azman ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Dalam prosiding yang sama, Amar Assuat turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada Mohd Hassanaim.
Suapan itu didakwa sebagai balasan untuk membantu mendapatkan projek usahasama ternakan lembu pedaging di Ladang Fidlot Kedah Agro milik KAHB, yang terletak di Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah.
“Saya juga mengaku tidak bersalah,” ujar Amar Assuat.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM75,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Mereka juga diarahkan menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan.
Kerajaan teruskan bantuan BUDI Agri-Komoditi: Anwar
Bekalan minyak negara stabil hingga Julai: Akmal Nasrullah
JAWI kekalkan status sesat bagi ajaran Ahmadiah, Qadiani
Harga sayur naik di Kelantan, Mat Sabu arah FAMA pantau
Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2026 dibuka 4 Jun
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi